PPM tahan anggota kongsi gelap di perairan Silam [ 1m ago ]

Penting bagi Sarawak terus ada 'ikatan' kuat dengan kerajaan persekutuan - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 16/09/2019
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sempat berswafoto bersama ahli-ahli BERSATU ketika menghadiri majlis Berambeh BERSATU Sarawak hari ini.
KUCHING, 16 Sept -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penting bagi Sarawak untuk terus mempunyai ‘ikatan’ yang kuat dengan kerajaan Persekutuan.

“Terdapat satu yang luar biasa di Sarawak iaitu kerajaan Sarawak tidak lagi daripada parti sama dengan kerajaan di peringkat pusat, oleh itu sudah tentu kerjasama antara dua pihak berlainan tidak sekuat seperti dikehendaki.

“Rakyat kalau nak ikatan antara kerajaan negeri dan pusat, ikatan kuat, maka amat penting dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ini kita tukar kerajaan di Sarawak,” katanya dalam ucapan pada program Berambeh Bersatu Sarawak, di sini, hari ini.

Ke arah matlamat itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Bersatu mengingatkan semua anggota Bersatu supaya terus merapatkan saf antara ahli parti komponen PH kerana setiap daripada parti komponen itu tidak akan mampu memenangi mana-mana pilihan raya secara sendirian.

“Kita sahaja sendiri tak mungkin menang di Sarawak ini. Kita perlu bergabung dengan parti lain, kadang-kadang parti yang dahulunya kita tak sukai, tetapi suka atau tidak, hanya dengan bergabung sahaja baharulah kita dapat capai kemenangan dan dirikan kerajaan.

“Ini kita mesti ingat, kalau kita nak semua untuk kita, kita takkan dapat apa-apa. Tetapi kalau kita sanggup berkongsi maka kita akan dapat kejayaan dan perkongsian itu akan kita bahagi-bahagikan. Harus kita ingat, kenapa kita harus berkongsi? Kenapa adakan gabungan? Sebabnya tanpa gabungan kita mungkin kalah,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai PRN Sarawak yang menurutnya dijangka diadakan tahun hadapan, Dr Mahathir berkata penting bagi Bersatu dan ahlinya yang pertama kali akan mengambil bahagian, supaya mempunyai disiplin yang tinggi.

“Di mana apabila dibuat sesuatu keputusan walaupun keputusan itu tidak boleh diterima kita, tetapi itu keputusan ramai maka kita yang jadi minoriti perlu ikut keputusan itu.

“Saya harap di Sarawak ini kita satukan tenaga kita, insyaAllah kita akan dapat menjayakan perjuangan tapi sudah tentu kerajaan yang akan didirikan bukanlah kerajaan Bersatu tetapi kerajaan PH,” katanya

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu