Pegawai APMM maut akibat Zika sedang ikuti kursus pasukan khas [ 11m ago ]

Sekolah di Melaka dibuka seperti biasa esok

Tarikh kemaskini: 16/09/2019
MELAKA, 16 Sept -- Semua sekolah di Melaka akan dibuka seperti biasa esok ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri itu telah turun ke tahap tidak sihat berbanding sangat tidak sihat semalam.

Pengarah Pendidikan Melaka Datuk Abu Bakar Sahari berkata keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan terkini IPU di negeri itu yang menunjukkan trend penurunan sepanjang hari ini setakat 3 petang tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan memantau perkembangan keadaan jerebu di negeri itu dari semasa ke semasa.

"Jika kita lihat bacaan IPU menunjukkan penurunan sejak jam 12 tengah hari tadi sekali gus bertambah baik berbanding semalam...jadi kemungkinan besar sekolah beroperasi seperti biasa esok.

"Pihak sekolah juga boleh merujuk pada pegawai pengurusan bencana di setiap PPD berhubung keperluan menutup sekolah atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak 315 sekolah rendah dan menengah di Melaka melibatkan sebanyak 148,901 murid serta pelajar.

Semalam media melaporkan semua sekolah di negeri Melaka akan ditutup esok sekiranya IPU di negeri itu mencatat bacaan melebihi 200 hari ini.

Bagaimanapun IPU di Bandaraya Melaka hari ini mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Bandaraya Melaka (136), Bukit Rambai (134) dan Alor Gajah (123) setakat jam 5 petang ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu