Guna kamera badan pastikan anggota laksana tugas dengan telus - KPN [ 5h ago ]

Perwakilan Bangkok serah televisyen pintar kepada Sekolah Thankasem

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
BANGKOK, 12 Sept – Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri Bangkok (Perwakilan Bangkok) dengan kerjasama Ranhill Water Technologies Sdn Bhd menyumbang tujuh unit televisyen pintar (Smart TV) kepada Sekolah Thankasem di Saraburi, Thailand untuk memperkasa proses pembelajaran dan pengajaran.

Pengerusi Perwakilan Bangkok Datin Catherina Christine Cherian berkata usaha itu merupakan satu Tanggungjawab sosial korporat (CSR) badan itu untuk menjadikan proses pembelajaran dan pengajaran lebih efektif dan efisyen di sekolah yang kini berusia 43 tahun itu.

“Walaupun sekolah ini mendapat bantuan daripada pihak kerajaan tetapi ia masih tidak mampu menampung kos pembelanjaan sekolah.

“Sekolah ini masih kekurangan bahan dan alat bantuan mengajar. Diharapkan dengan sumbangan ini, ia dapat memperkasa proses pembelajaran dan pengajaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Catherina bersama anggota Perwakilan dan wakil syarikat Ranhill Water Technologies Sdn Bhd telah menyerahkan televisyen pintar tersebut dalam satu lawatan ke sekolah tersebut baru-baru ini.

Sekolah Thankasem di Saraburi kini mempunyai 10 guru dan 138 pelajar, dari prasekolah sehingga Darjah 6. Hampir 85 peratus pelajar di sekolah ini merupakan anak-anak yatim piatu dari keluarga miskin dan mereka ditempatkan di asrama, Saraburi Home.

Sementara itu, pihak sekolah turut menzahirkan penghargaan kepada Perwakilan Bangkok dan Ranhill Water Technologies Sdn Bhd atas sumbagan itu.

“Bantuan ini diharap dapat meningkatkan kualiti pembelajaran para pelajar di samping memberikan lebih banyak pendedahan terutama sekali melalui media elektronik,” kata salah seorang guru.

Keahlian Perwakilan Bangkok terdiri daripada kalangan para isteri pegawai Kedutaan, pegawai wanita di Kedutaan dan wanita Malaysia yang bermastautin di Thailand.

--BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu