PTPTN harap Kertas Konsultasi Rakyat diluluskan segera [ 31m ago ]

UMS, Sime Darby Plantation berhad tandatangani surat hasrat jalin kerjasama

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
KOTA KINABALU, 11 Sept -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menandatangani Surat Hasrat (LOI) bersama Sime Darby Plantation (SDP) Berhad dalam usaha mewujudkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi awam dengan pihak industri di negeri ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Prof Madya Ts Dr Ramzah Dambul berkata melalui kerjasama itu akan memberi peluang kepada pelajar universiti untuk mempelajari aktiviti penghutanan semula.

Beliau berkata pelajar yang terlibat akan mempelajari secara menyeluruh proses restorasi dari peringkat pemilihan benih, penjagaan dan penanaman sehingga ke silvikultur.

“Secara amnya bukan sahaja dalam restorasi hutan tetapi banyak lagi disiplin kajian akan menyusul selepas ini seperti ekosistem dan ekologi, flora dan fauna,” katanya ketika berucap pada majlis itu di UMS, di sini hari ini.

Ramzah berkata selaras dengan perjanjian itu, Sime Darby Plantation memilih kawasan ladang Sapong di Tenom seluas 267 hektar sebagai kawasan restorasi hutan yang akan memberi peluang kepada pelajar terlibat dalam mengamalkan teori yang dipelajari di bilik kuliah.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Sabah, Sime Darby Plantation Berhad, Mohd Faris Adli Shukery berkata perkongsian itu akan menjadi landasan besar bagi SDP untuk menunjukkan komitmen dan sokongan mereka ke arah matlamat pembangunan mampan.

Beliau berkata Ladang Sapong tidak disentuh selama lebih daripada 40 tahun dan walaupun ia adalah hutan sekunder dengan tumbuhan yang rendah dan sebilangan kecil pokok besar, SDP masih sangat berbangga kerana mendapat kawasan yang belum disentuh dalam profil bank tanahnya.

"Tetapi Ladang Sapong bukan sahaja ladang di mana kita memelihara tanah simpanan yang besar di bawah spesies hutan. Sehingga kini, kami mempunyai kawasan yang menanam spesies hutan termasuk spesies terancam, jarang dan terancam, "katanya.

Pada majlis itu, UMS diwakili oleh Ramzah dan SDP Berhad oleh Mohd Faris Adli.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu