PKS perlu penuhi kriteria produk untuk masuki pasar raya berjenama antarabangsa [ 58m ago ]

Jawatankuasa kaukus antara parlimen bincang isu sawit dicadang diwujudkan

Tarikh kemaskini: 06/09/2019
KUALA LUMPUR, 6 Sept -- Satu jawatankuasa kaukus antara parlimen dicadang diwujudkan antara ahli parlimen Malaysia, Indonesia dan rantau Asia bagi membincangkan tentang kepentingan industri minyak sawit.

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata jawatankuasa khas itu adalah bertujuan untuk membolehkan ahli parlimen dari negara-negara terbabit dapat bersama-sama menyertai usaha memberi penerangan mengenai dasar minyak sawit negara kepada Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata cadangan itu telah diusulkan kepada beberapa ahli parlimen Indonesia dan telah mendapat maklum balas positif manakala bagi peringkat Malaysia, ia akan dibawa ke Parlimen yang akan bersidang Oktober ini.

“Kami harap akan mempunyai satu kaukus antara Parlimen, untuk membincangkan tentang minyak sawit dan ini akan menambahkan lagi elemen penting iaitu pendekatan ‘people to people’ (rakyat kepada rakyat) untuk kita sama-sama membantu dalam memastikan masyarakat antarabangsa khususnya memahami bagaimana pentingnya minyak sawit ini bukan sahaja kepada ekonomi tetapi juga kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas sidang media mengenai program Culinaire Malaysia 2019, di sini, hari ini

Mengenai Culinaire Malaysia 2019, Shamsul Iskandar berkata ia merupakan pameran seni masakan, makanan dan minuman yang dianjurkan secara kerjasama antara Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Ahli Kulinari Profesional Malaysia (PCA) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Edisi kali ini yang akan berlangsung dari 24-27 Sept depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bakal menyaksikan para peserta mempamerkan pengetahuan dan kepakaran mereka menggunakan minyak sawit sebagai asas dalam semua masakan.

Beliau berkata industri minyak sawit Malaysia menghasilkan antara minyak masak terbaik di dunia yang mengikut standard dan rangka kerja Minyak Sawit Lestari Malaysia (MPSO) serta diterima dengan baik oleh pakar kulinari tempatan serta antarabangsa.

Program itu akan disertai kira-kira 1,200 peserta dari sembilan negara dan dijangka menarik lebih daripada 20,000 pengunjung.

Shamsul Iskandar berkata selain menjadi penanda aras dan pencapaian utama bagi industri kulinari negara, program itu juga akan dapat menyokong sektor pelancongan tempatan secara umumnya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu