PATI lari dari Depot Tahanan Imigresen Miri ditahan semula [ 1m ago ]

Smartsel lancar khidmat jalur lebar berkelajuan tinggi di Kuala Selangor

Tarikh kemaskini: 30/08/2019
KUALA SELANGOR, 30 Ogos -- Smartsel Sdn Bhd (Smartsel), anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI) hari ini melancarkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi, Selangor Digital Network (SDN) NODE 1 di Kuala Selangor.

Pelancaran itu menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah kedua selepas Shah Alam yang dilengkapi dengan perkhidmatan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata jalur lebar berkelajuan 100 mbps itu mempunyai 50 titik capaian untuk dimanfaatkan pengguna di daerah itu pada harga yang berpatutan.

"Dengan adanya perkhidmatan ini, penduduk sekitar bakal mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini, terutamanya para pelajar.

"Selain itu, industri lain seperti pertanian, pelancongan, perikanan dan perlombongan di sekitar kawasan ini turut akan menerima tempias manfaat dari pengenalan perkhidmatan jalur lebar ini," katanya semasa berucap merasmikan pelancaran NODE1 Smartsel Digital Network (SDN) di Inpens International College di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MBI Raja Shahreen Raja Othman dan Pengarah Urusan Smartsel Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir.

Menurut Izham lagi, SDN merupakan antara usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan semua daerah di Selangor mempunyai capaian internet berkelajuan tinggi menjelang ada 2025.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan, Suhaimi berkata pihaknya masih belum menetapkan harga bagi perkhidmatan berkenaan, namun memberi jaminan harga yang akan ditetapkan kelak adalah kompetitif dan berpatutan dengan kelajuan yang disediakan.

"Kuala Selangor akan menjadi tanda ukur untuk kita melihat keberkesanan perkhidmatan ini, jika berjaya dan mendapat sambutan yang mengalakkan, perkhidmatan ini akan kita luaskan ke daerah luar bandar yang lain," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu