Tiga lagi lokasi di Sarawak capai bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat [ 1h ago ]

Nasi berlauk gulai ikan ´ayo´ Mok su, masakan ´ori´ Kelantan

Tarikh kemaskini: 24/08/2019
MELAKA, 24 Ogos -- Nasi berlauk gulai ikan ‘Ayo’ (Ikan Tongkol) adalah menu istimewa di Kedai Makan Mok su menjadi pengubat rindu bagi peminat masakan ‘Ori’ selera Pantai Timur di negeri Hang Tuah.

Pemilik kedai makan, Roslina Hussin, 53, yang lebih mesra dengan panggilan Mok su berkata beliau mula membuka kedai makan yang terletak di Taman Tun Rahah, Bukit Katil pada 2012 dengan niat untuk membantu anak Kelantan melepaskan rindu mereka terhadap masakan Pantai Timur dan kampung halaman.

“Mok su masih ingat lagi ketika mula-mula pindah ke Melaka pada sekitar tahun 90-an, agak sukar untuk mencari nasi berlauk Kelantan di sini sehingga Mok su terpaksa memasak sendiri untuk dijadikan sebagai sarapan untuk suami dan anak,”katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pada awalnya beliau hanya menjual kuih muih tradisional seperti kuih cek mek molek, kuih keria dan cucur badak kepada gerai makan pada tahun 2006 hingga 2009 sebelum menjual sarapan pagi secara kecil-kecilan dengan hanya meletakkan sebuah meja di Kampung Tun Razak, Bukit Katil pada tahun 2010.

“Bermula dari situlah perniagaan nasi berlauk Mok su semakin maju sehingga dapat membeli sebuah rumah dijadikan sebagai kedai makan pada tahun 2012 hasil daripada berkat kesabaran dan sokongan yang diberikan oleh pelanggan,” katanya.

Roslina berkata, beliau berasal daripada keluarga susah, kegawatan ekonomi yang melanda negara pada tahun 90-an menyebabkan beliau terpaksa mencari duit lebih bagi membantu suaminya, Mat Japar Yaakob, 60, menampung tiga anaknya yang masih bersekolah pada ketika itu.

Ditanya Bernama apakah kepuasan yang diperoleh olehnya setelah Nasi berlauk gulai ikan ‘Ayo’ yang dihasilkan mula menjadi tular dalam media sosial sehingga peminat dari luar Melaka seperti Kuala Lumpur dan Johor sanggup datang ke kedainya.

“Mok su rasa puas hati dapat melihat rauk wajah gembira pelanggan ketika menjamu selera ada beberapa orang pelanggan wanita memeluk Mok su dan memberitahu bahawa masakan Mok su sama seperti masakan ibunya menyebabkan Mok Su turut sama merasa sebak dan dihargai,” katanya yang berasal dari Kota Baharu, Kelantan.

Ada beberapa pelanggan melayan beliau seperti ibu mereka apabila mereka bersalam serta meminta izin pulang selepas menjamu selera.

“Bagi Mok su semua pelanggan yang datang kedai, Mok su layan seperti anak sendiri, mungkin mak mereka telah tiada atau jarang pulang ke kampung halaman menyebabkan mereka kerap datang ke kedai ini bagi melepaskan rindu kepada kampung halaman masing-masing,” katanya.

Roslina berkata antara menu yang mendapat sambutan adalah nasi berlauk Ikan ‘Ayo’, nasi dagang, nasi berlauk gulai itik, laksam, kuih cek mek molek dan nasi kerabu.

Katanya, walaupun harga bahan mentah semakin meningkat, beliau masih mengekalkan harga asal iaitu RM4.50 bagi nasi berlauk, nasi dagang dan nasi kerabu dan RM6.00 bagi nasi berlauk gulai itik dan nasi kerabu ayam percik Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, ramai pelanggan memuji sambal Jantan Kelantan yang menjadi pembuka selera apabila dimakan bersama nasi berlauk.

Roslina berkata, impian beliau adalah untuk menghasilkan pes gulai darat pada masa akan datang bagi mengembangkan perniagaannya.

“Kalau boleh Mok su nak buat pes gulai darat bagi memudahkan peminat masakan gulai darat memasak sendiri masakan kegemaran mereka,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu