Keadaan jerebu di Port Dickson jejas pendapatan peniaga [ 1h ago ]

Nik Mohd Hasyudeen dilantik CEO TH baharu

Tarikh kemaskini: 23/08/2019
Nik Mohd Hasyudeen Yusoff
KUALA LUMPUR, 23 Ogos -- Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu berkuat kuasa 1 Sept ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Zukri Samat yang menamatkan kontrak perkhidmatannya lebih awal atas faktor kesihatan.

Zukri dilantik ke jawatan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH pada 10 Julai tahun lepas.

"Dalam tempoh yang singkat, beliau (Zukri) telah berjaya melaksanakan proses pemulihan dan penstrukturan semula kedudukan kewangan TH bagi mengatasi kedudukan defisit aset yang dialami dan mengukuhkan proses tadbir urus serta pengurusan yang telus bagi menjaga kepentingan para pendeposit.

"Sumbangan dan panduan yang telah diberikan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya kini telah meletakkan TH pada kedudukan kewangan yang lebih stabil bagi melaksanakan mandat utama TH sebagai institusi yang amat penting dalam membantu umat Islam di Malaysia melaksanakan rukun Islam kelima," katanya.

Dalam pada itu, Nik Mohd Hasyudeen, 54, yang berkelulusan Sarjana Perniagaan dari Curtin University of Technology, Australia, pernah menyertai Program Lanjutan Pengurusan Perniagaan, International Institute for Management Development (IMD) Switzerland dan merupakan Felo di CPA (Certified Practising Accounting) Australia dan Ahli di Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai lembaga pengarah di beberapa syarikat termasuk BIMB Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB Investment Management Berhad, Cagamas Holdings Berhad, TH Plantations Berhad, Malaysia Professional Accountancy Center (MyPAC), Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM) dan Al Hijrah Media Corporation.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Penyeliaan Pasaran dan Korporat dan Pengerusi Eksekutif Lembaga Penyeliaan Audit Suruhanjaya Sekuriti Malaysia selain mempunyai pengalaman luas serta kepakaran dalam bidang perakaunan, kewangan korporat, pasaran modal dan perbankan Islam.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu