Senyuman sukarelawan lapangan terbang berjaya tenangkan penumpang - Raja Azmi [ 2h ago ]

Projek pembangunan Tasik Kenyir siap Mac 2020

Tarikh kemaskini: 22/08/2019
HULU TERENGGANU, 22 Ogos (Bernama) -- Projek cadangan mereka bentuk, membina dan menyiapkan Marina Pengkalan Gawi dan Jambatan ke Pulau Poh, Tasik Kenyir dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mac hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata projek bernilai RM430 juta itu akan disiapkan secara berperingkat.

“Projek ini telah bermula sejak tahun 2017, dan pada bulan November ini jambatan yang menghubungkan Pengkalan Gawi dan Pulau Poh dijangka siap diikuti hotel lapan tingkat pada bulan Mac tahun depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada lawatan kerja beliau di Hulu Terengganu di sini hari ini.

Ariffin berkata walaupun projek dijangka siap pada Mac tahun hadapan, hotel yang mempunyai kira-kira 150 bilik itu tidak akan terus beroperasi kerana belum mempunyai pengusaha yang boleh menguruskannya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi pengusaha hotel itu.

Beliau berkata bagi pihak yang berminat untuk menguruskan hotel itu mereka perlu mempunyai perjanjian-perjanjian khusus dengan kerajaan negeri.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu