Senyuman sukarelawan lapangan terbang berjaya tenangkan penumpang - Raja Azmi [ 2h ago ]

Pekerja teknologi maklumat didakwa bunuh Syed Muhammad Danial

Tarikh kemaskini: 22/08/2019
KAJANG, 22 Ogos (Bernama) -- Seorang pekerja di bahagian teknologi maklumat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Shakir dalam kejadian langgar baru-baru ini.

Yew Wei Liang, 41, yang memakai baju T dan seluar hitam hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Pengakuan tidak direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial, 29, di Kilometer 293.6 di Lebuhraya Utara-Selatan (Kuala Lumpur-Seremban) di sini antara 1 dan 2 petang, 10 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam, Vargese Onny dan S. Selvam.

Terdahulu, Selvam berkata beliau ingin membuat aduan bahawa dalam tempoh tahanan reman, tertuduh telah mengalami penderaan dan kecederaan pada tubuh badan dan dibawa ke Hospital Kajang pada 13 Ogos.

Selvam juga memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh untuk mendengar aduan yang dikemukakan anak guam mereka mengikut Seksyen 131 Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah menetapkan 27 Sept untuk sebutan semula kes bagi menyerahkan laporan termasuk mendengar aduan tertuduh dan juga mengarahkan peguam mengemukakan laporan hospital berkaitan kecederaan yang didakwa dialami tertuduh pada tarikh sama (27 Sept).

Petugas media mula berkumpul seawal 8 pagi di mahkamah untuk membuat liputan pendakwaan kes tersebut.

--BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu