Pemandu 4WD maut bertembung dengan bas ekspres di Ranau [ 2h ago ]

Unit Berkuda PPj ketuai perarakan Berkuda Penjawat Awam Hari Kebangsaan 2019

Tarikh kemaskini: 22/08/2019

PUTRAJAYA, 22 Ogos -- Unit Berkuda, Bahagian Penguatkuasa Perbadanan Putrajaya (PPj), meskipun junior berbanding unit seangkatannya, diberi kepercayaan untuk menerajui perarakan Kontinjen Berkuda Penjawat Awam pada sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Perarakan melibatkan 44 ekor kuda itu akan turut disertai unit lebih senior dan berpengalaman iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Penguatkuasa PPj Mohd Ali Jusoh berkata ia merupakan kali pertama unit berkuda PPj itu diberi peranan menerajui perarakan berskala besar sejak ditubuhkan pada 2006.

Menurutnya, PPj dan DBKL masing-masing menghantar 14 ekor kuda, PDRM 11 ekor dan ATM lima ekor bagi perarakan tersebut, dan kuda-kuda itu dihimpunkan di Kompleks Unit Berkuda Putrajaya, Presint 15, iaitu lokasi latihan pusat pasukan yang menyertai perarakan, sejak Isnin lepas.

"Kuda-kuda ini perlu didatangkan lebih awal bagi membolehkan kuda dan penunggang yang mengendalikannya menyesuaikan diri dengan persekitaran serta 'kawan-kawan' baharu yang mengambil bahagian,” katanya kepada Bernama.

Mohd Ali berkata persembahan yang melibatkan gabungan kuda pelbagai agensi menuntut lebih tumpuan untuk membentuk keserasian serta memastikan emosi dan mood kuda sentiasa berada dalam tahap baik dan bersedia untuk membuat pertunjukan.

"Dalam perarakan aset hidup seperti kuda, banyak cabaran luar jangka perlu ditangani antaranya kuda menjadi takut, terkejut dengan suasana majlis yang dihadiri ramai orang serta bunyi bising,” katanya.

Beliau berkata latihan intensif melibatkan semua peserta akan bermula pada 21 Ogos sebelum kontinjen dibawa berlatih di lokasi pertunjukan pada 27 dan 28 Ogos, yang antara lain bagi membiasakan kuda dengan suasana sambutan yang bingit dengan alunan muzik.

Yakin unit berkuda PPj mampu mengetuai perarakan berkuda itu, Mohd Ali berkata mereka turut menerima nasihat dan kerjasama daripada pasukan yang lebih berpengalaman dalam menyertai acara tersebut.

Dengan kebanyakan tetamu utama itu cukup arif tentang kuda, ia menuntut persembahan yang mantap supaya tiada kesilapan dikesan, katanya.

"Bermakna kami kena buat persembahan yang paling sempurna dan pada saya, itulah cabaran yang sebenar," katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu