UM perjelas punca halang graduan perakaunan sertai konvokesyen [ 51m ago ]

Bursa Malaysia, NCWO bersama anjur seminar Wanita dan Pelaburan

Tarikh kemaskini: 21/08/2019
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd dan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) akan bersama-sama menganjurkan seminar pertama Wanita dan Pelaburan, pada 24 Ogos sempena Hari Wanita 2019.

Seminar itu bertujuan membantu wanita mempelajari tentang perancangan kewangan dan pelaburan serta menggalakkan mereka untuk melibatkan diri dalam pelaburan saham, serta menarik minat pengusaha wanita untuk mengumpul dana daripada pasaran modal, kata Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini.

“Ia juga akan mempamerkan produk dan perkhidmatan pengusaha wanita dari pelbagai gabungan NCWO,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata seminar itu menawarkan platform bernilai untuk bursa saham menyokong usaha memperkasa wanita dengan membantu meningkatkan potensi mereka untuk mencapai matlamat kewangan menerusi peluang untuk mengembangkan nilai di pasaran modal.

“Untuk menambah baik kehidupan wanita, kami terus memacu pelbagai inisiatif yang mencerminkan komitmen kami terhadap agenda persamaan gender,” katanya.

Bursa Malaysia berkata seminar itu akan mengetengahkan dua sesi informatif berkenaan peluang untuk pelabur dan pengusaha wanita.

“Pelabur yang berpotensi akan memperoleh pengetahuan tentang perkhidmatan dan produk pelaburan, cara untuk melabur dalam pasaran saham dan kaedah untuk mengakses maklumat kewangan yang akan membantu mereka membuat keputusan pelaburan.

“Selain itu, pengusaha wanita, boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai penjanaan kewangan dalam pasaran modal dan peluang perniagaan yang mereka boleh peroleh daripada penyenaraian syarikat mereka di Bursa Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu