Pejabat PM terpaksa 'pertahan' najib kerana banyak serangan isu 1MDB - Saksi [ 8m ago ]

Sultan Selangor kurnia watikah gelaran Datuk Diraja Selangor kepada Datuk Zakaria Abdul Rahman

Tarikh kemaskini: 21/08/2019

SHAH ALAM, 21 Ogos (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan gelaran Datuk Diraja Selangor Datuk Sri Alam Diraja kepada Datuk Zakaria Abdul Rahman, yang merupakan bekas Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Sharafuddin.

Acara pengurniaan watikah pelantikan gelaran itu dijalankan dalam satu istiadat yang diadakan di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini, yang turut dihadiri Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama adalah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Pada istiadat yang sama, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Anggota MAIS bagi sesi 2018-2020 kepada Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Turut menerima watikah pelantikan daripada Sultan Selangor adalah Dr Ahmad Shahir Makhtar sebagai Setiausaha MAIS bagi menggantikan Datuk Bakhtiar Hussin yang bersara pada 13 Disember tahun lepas.

Pelantikan Mohd Zawawi yang berkuatkuasa pada 19 Mac lepas dibuat selaras dengan Seksyen 11(1)(d) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 manakala pelantikan Ahmad Shahir yang berkuatkuasa pada 16 Julai lepas pula mengikut Seksyen 16(1) enakmen sama.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Selangor dan menjadi Wali Raja kepada Mohd Hafiz Ab Aziz serta Hazman Che Mohamed daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pelantikan Mohd Hafiz dan Hazman berkuatkuasa 1 Ogos lepas selaras dengan ketetapan hukum syarak dan yang dinyatakan mengikut Seksyen 28 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu