Affin Hwang kekalkan saranan 'beli' bagi Ajinomoto, turunkan harga sasaran [ 21m ago ]

Larangan, pembekuan pengambilan pekerja asing: Persatuan dobi rayu kerajaan teliti semula dasar

Tarikh kemaskini: 21/08/2019
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Dua persatuan dobi hari ini merayu kerajaan supaya meneliti semula dasar larangan serta pembekuan pengambilan pekerja asing di sektor perkhidmatan dan dobi.

Persatuan Dobi Selangor dan Kuala Lumpur (SEKLLAAS) serta Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (MULA) yang mewakili pengusaha perkhidmatan dobi, mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula dasar itu secara komprehensif.

Presiden MULA Abdul Jalil Ibrahim berkata kesan daripada dasar itu akan menyebabkan perniagaan perkhidmatan dobi yang berskala kecil dan besar berisiko untuk ditutup selain meningkatkan kadar pekerja asing bekerja secara tidak sah.

“Industri dobi adalah keperluan dan satu komponen perkhidmatan sokongan yang utama kepada beberapa sektor penting seperti B2B (Business to Business) dan B2C (Business to Consumer) seperti perhotelan, pelancongan, hospital, penerbangan, perkilangan, perkapalan, pengangkutan, pendidikan dan banyak lagi termasuk kontrak perkhidmatan dobi di agensi-agensi kerajaan.

“Sekiranya industri dobi tidak dapat beroperasi secara mampan, ia akan memberi impak yang negatif dan akan melumpuhkan keseluruhan ekosistem perniagaan yang berkaitan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak kementerian yang terlibat dengan dasar tersebut supaya memberi pertimbangan dan bersetuju untuk berjumpa dengan persatuan-persatuan dobi bagi mengetahui masalah serta mendapatkan penyelesaian terbaik bagi semua pihak.

Sementara itu, Presiden SEKLLAAS Tham Ah Wah memberitahu, adalah dianggarkan pengusaha dobi di Lembah Klang memproses melebihi 1,000 tan linen sehari dan pekerja tempatan tidak berminat untuk melakukan kerja mencuci, melipat serta menggosok.

“Beban tugasnya sangat tinggi, bayangkan 1,000 tan sehari anda memerlukan pekerja dan tenaga yang banyak untuk menyelesaikan kerja-kerja itu. Orang tempatan tidak minat untuk melakukan (kerja-kerja ini).

“Sebenarnya kita telah banyak kali mencuba (mengambil pekerja tempatan untuk tugas operasi), namun selepas kita ambil mereka bekerja, mereka akan bekerja untuk dua minggu, kemudian mereka berhenti. Mereka tidak suka melakukan kerja-kerja tradisonal ini,” katanya.

Pada 8 ogos, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan, berkata kerajaan bersetuju dengan cadangan penutupan penggajian pekerja asing bagi subsektor perkhidmatan lain iaitu dobi, tekstil, tukang gunting dan tukang emas yang telah dibekukan sejak tahun 2009.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikannya bersama M. Kula Segaran.

Katanya, dalam cadangan yang dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu, dasar semasa yang membenarkan penggantian pekerja asing bagi subsektor itu turut akan dihentikan dalam masa tiga tahun lagi secara berperingkat mulai tahun ini sehingga 2021.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu