Keadaan jerebu di Port Dickson jejas pendapatan peniaga [ 59m ago ]

Polis buru dua suspek aktif samun di Kubang Pasu

Tarikh kemaskini: 21/08/2019
JITRA, 21 Ogos (Bernama) -- Polis sedang memburu dua lelaki berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar daerah ini sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata berdasarkan laporan yang diterima pihaknya, salah seorang suspek pernah menyamar sebagai anggota polis semasa menjalankan kegiatan jenayah.

Beliau berkata suspek menyasarkan pelancong asing, pekerja warga asing, warga emas dan wanita dengan modus operandi yang digunakan ialah dengan menunggang motosikal dan menghampiri mangsa sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Suspek juga meminta mangsa menunjukkan kad pengenalan atau pasport, selepas memenuhi permintaan suspek, mereka dengan pantas menyambar dompet, telefon bimbit serta barangan berharga mangsa sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, kes terbaharu berlaku pada 6 Ogos lalu yang melibatkan seorang wanita berusia 28 tahun dari Kampung Pida 3, di sini yang disamun di kawasan Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.00 petang itu, motosikal yang ditunggang wanita itu ditendang penjenayah sebelum beg duit, telefon bimbit serta barangan peribadinya yang dietakkan dalam bakul motosikal dilarikan.

“Dua hari sebelum itu, satu kes melibatkan seorang lelaki Cina warga emas berusia 71 tahun disamun di hadapan Jalan Tok Padang Sera, Kodiang pada pukul 6 pagi menyebabkan dia kerugian RM600.

“Pada 12 Jun lalu pula, seorang perempuan Thailand berusia 58 tahun disamun di kawasan tanah perkuburan di Bukit Kayu Hitam kira-kira pada 10.30 pagi menyebabkan dia kerugian 5,000 baht dan pada 4 Mei lalu seorang lelaki Nepal turut disamun di Taman Sri Aman, di sini,” katanya.

Mohd Ismail berkata semua kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek di minta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu dengan menelefon 04-9172222 atau menghubungi balai polis berhampiran.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu