Melaka bincang pembangunan air dengan SPAN [ 1h ago ]

Dua gadis hilang sejak 3 Ogos dijumpai di Selayang - Polis

Tarikh kemaskini: 21/08/2019
SEREMBAN, 21 Ogos -- Dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 3 Ogos lepas, ditemui selamat di Selayang, Selangor, semalam, kata Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim.

Beliau berkata kedua-dua remaja, Chan Jiah Huih, 14, dan Chan Yi Xuan, 15, ditemui keluarga mereka di sebuah kedai dobi kira-kira pukul 10 malam selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

"Keluarga telah menjumpai mereka dan kemudian membawanya ke Balai Polis Selayang untuk diambil keterangan. Polis kemudiannya membawa kedua-dua remaja itu ke hospital bagi pemeriksaan lanjut dan tiada sebarang kecederaan dihadapi kedua-dua mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penutup Pertandingan Kawad Kaki KOR Kadet Polis di sini, hari ini.

Majlis penutup disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman.

Mohd Said berkata hasil siasatan awal, kedua-dua remaja mengaku melarikan diri dari rumah secara sukarela kerana mempunyai masalah keluarga.

"Kedua-dua mereka dalam keadaan selamat, tiada unsur jenayah dikesan dan mereka telahpun diserahkan kepada keluarga masing-masing," katanya.

Semalam media melaporkan, dua keluarga merayu anak gadis mereka supaya pulang ke rumah setelah dilaporkan hilang sejak 17 hari lepas.

Dua gadis berkenaan dilaporkan hilang sejak 3 Ogos lepas, selepas dipercayai ke Kuala Lumpur.

Kedua-dua mereka yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang dan Seri Ampangan itu saling mengenali sejak awal tahun lalu di sebuah pusat tuisyen di Seremban Jaya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu