Jerebu: Siasat syarikat perladangan Malaysia - Lee Lam Thye [ 7m ago ]

Keputusan inkues Adib 27 Sept

Tarikh kemaskini: 21/08/2019
Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim (Gambar fail)

SHAH ALAM, 21 Ogos -- Mahkamah Koroner di sini menetapkan 27 Sept depan sebagai tarikh keputusan prosiding inkues berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad menetapkan tarikh tersebut selepas mendapati tiada lagi keperluan untuk prosiding inkues itu diteruskan selepas prosiding tersebut ditutup pada 24 Julai lepas.

“Selepas meneliti semua keterangan, tiada apa-apa lagi untuk diteruskan.

“Mahkamah menetapkan tarikh keputusan pada 27 September (2019), pukul 10 pagi,” katanya hari ini.

Pada 24 Julai lepas, Rofiah menutup prosiding inkues berhubung mencari punca kematian Muhammad Adib selepas ia berjalan selama 41 hari.

Keputusan itu sekali gus menolak permohonan Pegawai Pengendali kes, Faten Hadni Khairuddin yang mencadangkan supaya seorang lagi saksi patologi dipanggil.

Rofiah sebelum itu turut memaklumkan mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi sedia ada.

Prosiding inkues telah bermula 11 Februari lalu dengan seramai 30 saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk beberapa saksi pakar.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu