4 anggota polis cedera selepas bertempur dengan penunjuk perasaan menjelang G7 [ 3m ago ]

TFC tekad teruskan rentak kemenangan - Jurulatih

Tarikh kemaskini: 15/08/2019
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos (Bernama) -- Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut anak buahnya meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia 2019 apabila bertemu Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, Sabtu ini.

Beliau berkata kemenangan ke atas Negeri Sembilan amat penting bagi mencerahkan peluang ke suku akhir selepas berjaya menewaskan PKNS FC 3-1 dalam aksi sulung Piala Malaysia, 2 Ogos lepas, serta kejayaan menundukkan Kedah 2-0, Khamis lalu (8 Ogos).

Nafuzi, bagaimanapun mengakui misi meraih kemenangan ke atas Skuad Rusa bukanlah satu tugas mudah memandangkan skuad kendalian jurulatih berpengalaman, Muhammad Zaki Sheikh Ahmad itu juga mempunyai barisan pemain muda yang mantap terutama di bahagian sayap.

"Selepas dua kekalahan kepada Kedah dan PKNS sebelum ini, pastinya kunjungan Negeri Sembilan ke Terengganu kali ini, mereka membawa misi besar untuk menang.

"Memiliki barisan penyerang seperti Muhammad Ferris Danial Mat Nasir yang semakin meningkat naik, kami jangkakan tentangan diterima pastinya sengit kerana mereka amat memerlukan kemenangan," katanya.

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata selain dibelenggu masalah kecederaan beberapa pemain utama, TFC juga berdepan tugas sukar selepas kehilangan dua penjaga gol utama.

Ia susulan, Mohd Suffian Abd Rahman mengalami masalah kesihatan, manakala Muhammad Ilham Amirullah Razali digantung dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Kedah.

"Saya menaruh sepenuh kepercayaan terhadap Wan Azraei (Wan Muhammad Azraei Wan Teh) untuk mempertahankan benteng terakhir TFC daripada dibolosi pada aksi menentang Negeri Sembilan.

"Inilah masa beliau (Wan Azraei) membuktikan keupayaan sebenar untuk lebih menyerlah," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu