Aksi tidak konsisten Felda United bawa padah [ 10m ago ]

Smith ganti Super KIP di GP British

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Selepas tujuh tahun, pelumba Britain, Bradley Smith kembali semula ke MotoGP Dunia sebagai pengganti sementara Khairul Idham Pawi untuk mengendalikan jentera Moto2 pasukan Petronas Sprinta Racing Team (SRT) pada Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone, minggu depan.

Smith, yang meraih tiga kedudukan podium pada musim 2011-2012, menggantikan Khairul atau Super KIP selepas pelumba Malaysia itu berjaya menjalani pembedahan kedua pada jari kelingking kanannya di Barcelona, Selasa lalu.

Pelumba tersebut kembali beraksi di GP Republik Czech dua minggu lalu namum terpaksa menarik diri daripada perlumbaan selepas kecederaannya masih belum pulih sepenuhnya.

Sementara bercakap mengenai kepulangannya dalam Moto2, Smith berkata beliau teruja untuk memperoleh keputusan positif di hadapan penonton sendiri, sambil menjelaskan beliau masih cuba menyesuaikan diri dengan perubahan dalam katgeori tersebut sejak 2012.

“Secara jujur, agak pelik untuk menunggang jentera Moto2 buat kali pertama sejak 2012. Saya mengikuti rapat perubahan dengan enjin baharu serta trok dan kuasa yang lebih,” beliau dipetik sebagai berkata dalam kenyataan Petronas SRT hari ini.

Smith, 28, kini menunggang untuk pasukan One Energy (Sepang) pada Kejuaraan Piala Dunia MotoE (motosikal elektrik).

Dalam pada itu, Pengarah SRT, Johan Stigefelt, berkata pasukannya gembira untuk mendapatkan khidmat pelumba gantian itu dan berharap beliau akan memanfaatkan pengalamannya dalam saingan Moto2 untuk membantu pada perlumbaaN minggu depan.

“Sudah tentu ia akan menjadi sukar bagi dirinya kerana tidak beraksi dalam Moto2 dalam tempoh masa yang lama dan jentera kini amat berbeza. Bagaimanapun, kami sedar keadaan ini dan akan memberi bantuan teknikal yang cukup bagi membolehkan beliau bersaing dengan baik,” katanya.

Sejak mengalami kecederaan pada GP Sepanyol di Jerez, Mei lalu, Petronas SRT menggantikan Super KIP dengan pelumba Itali, Mattia Pasni dan pelumba Jerman, Jonas Folger sejak enam perlumbaan lalu.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu