Police investigate upside down flag case in Butterworth [ 1h ago ]

Nora Anne: Pakar Patologi meninggalkan HTJ pada 9.25 malam

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
Hisham Rafar dan Nur Natasha Aida

SEREMBAN, 14 Ogos (Bernama) -- Tiga pakar dan pegawai Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilihat meninggalkan perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), pada pukul 9.25 malam ini.

Mereka yang tiba di sini, pada pukul 9.05 pagi tadi bagi proses bedah siasat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin,15 yang ditemui mati semalam di kawasan lurah berhampiran anak sungai, kira-kira 2.5 kilometer daripada resort penginapannya.

Kesemua doktor berkenaan ketika dihampiri petugas media enggan membuka mulut mengenai proses bedah siasat berkenaan yang telah berlangsung lebih 10 jam.

Petugas-petugas media juga dilihat mula meninggalkan perkarangan Jabatan Perubatan Forensik itu.

Cuaca pada sebelah malam di perkarangan jabatan itu menyaksikan hujan turun sederhana lebat.

Semalam, mayat wanita berkulit cerah ditemui pada 1.57 tengah hari dan disahkan anggota keluarganya sebagai Nora Anne, remaja yang dilapor hilang dari sebuah resort, di Pantai, Seremban awal bulan ini.

Nora Anne,15, bersama keluarganya tiba di Malaysia pada 3 Ogos bagi percutian selama dua minggu di sini dan remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh keluarganya dari bilik penginapan mereka pada pukul 8 pagi hari berikutnya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu