Police investigate upside down flag case in Butterworth [ 1h ago ]

Inisiatif jalur dan jalan akan bawa pembangunan inklusif kepada Asia, kata duta

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China akan membawa prospek baharu untuk pembangunan inklusif di Asia, kata Duta China ke Malaysia, Bai Tian.

Beliau berkata jurang ekonomi yang semakin melebar dan ketidaksamaan di kebanyakan negara membangun Asia telah menghalang pembangunan di sana.

Bai berkata Bank Pembangunan Asia (ADB) menjangkakan Asia memerlukan pelaburan infrastruktur sebanyak US$8 trilion antara tahun 2010 dan 2020, oleh itu pewujudan BRI adalah selaras dengan keperluan dan tuntutan kebanyakan negara.

"Dengan menggerakkan sumber melalui kerjasama dan mengurangkan jurang pembangunan, BRI menyasarkan lebih banyak negara dan wilayah turut serta dalam pertumbuhan global dan globalisasi dalam cara yang adil dan saksama.

"Ia telah memberikan idea-idea baharu dan platform baharu untuk merealisasikan pertumbuhan inklusif di Asia," katanya dalam ucaptama pada Dialog Asia Inklusif Baharu, yang dianjurkan oleh badan pemikir bukan kerajaan, Centre For New Inclusive Asia di sini, hari ini.

Dialog selama dua hari yang dihadiri oleh para ilmuan, pegawai kerajaan dan pemimpin korporat daripada 11 negara diadakan dengan matlamat untuk berkongsi pandangan tentang kesalinghubungan pertumbuhan inklusif di Asia.

Hasil cetusan idea Presiden China Xi Jinping, BRI menyasarkan untuk menghidupkan semula laluan perdagangan Laluan Sutera pada masa dulu yang menghubungkan Asia dan negara lain di seluruh dunia melalui rangkaian landasan kereta api, pelabuhan, lapangan terbang, saluran paip dan lain-lain,

Malaysia juga telah memberikan sokongan penuh kepada BRI apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata negara ini mendapat manfaat daripada projek infrastruktur besar-besaran tersebut semasa mesyuarat peringkat tinggi Forum Jalur dan Jalan untuk Kerjasama Antarabangsa di China pada 24 April lepas.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata BRI akan memberi manfaat kepada Malaysia, dan kerajaan perlu mengambil peluang dan memanfaatkan dasar pintu terbuka China bagi mendapatkan pelaburan untuk membangunkan negara, sekaligus mengurangkan jurang ekonomi Malaysia.

“Di bawah BRI, negara dan pelabur akan mendapat faedah dari segi kekayaan, tetapi paling penting, kita mahu rakyat dan pekerja mendapat manfaat menerusi upah yang lebih tinggi dan juga memiliki kemahiran lebih tinggi, " katanya.

Abdul Majid berkata Malaysia mendapat manfaat daripada BRI sejak ia ditubuhkan pada 2013, dengan kemasukan pelaburan Cina ke negara ini.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu