Man seriously hurt after pet macaque bit him [ 5h ago ]

Abdul Latif fokus Kejohanan Dunia, buru slot ke Sukan SEA Filipina

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly memutuskan untuk tidak menyertai Kejohanan Olahraga Para Grand Prix Paris hujung bulan ini, bagi memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Kejohanan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), November ini.

Pada masa yang sama, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu juga berhasrat untuk mewakili negara ke Sukan SEA di Filipina buat kali kedua, selepas melakukannya di Kuala Lumpur pada edisi 2017.

Abdul Latif berkata perkara tersebut telah dibincangkan bersama jurulatihnya Syahrul Amri Suhaimi termasuk untuk menyertai Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia yang juga medan terakhir para atlet olahraga mencari kelayakkan ke temasya dwitahunan itu.

“Saya memang sudah bincang dengan jurulatih untuk tidak mahu keluar (menyertai) kejohanan anjuran Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), tetapi saya akan berikan prestasi terbaik saya di Kejohanan Dunia, November nanti,” katanya ketika ditemui di Program Ibadah Korban Majlis Sukan Negara (MSN), di Vista MSN, hari ini.

Untuk rekod, Abdul Latif memperbaharui rekod dunia dengan jarak 7.64m dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, memadam catatan lamanya 7.60m yang dilakukan di Rio 2016.

Sementara itu, Abdul Latif berkata Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia yang bermula Jumaat ini merupakan platform terbaik untuk melayakkan diri ke Sukan SEA.

Namun, atlet kelahiran Perlis itu tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi memandangkan beliau sekadar melakukan catatan terbaik peribadi musim ini 7.49m berbanding 7.75m had kelayakan yang ditetapkan untuk ke Filipina.

“Status saya masih belum layak untuk ke Sukan SEA 2019. Saya punya catatan musim terbaik tahun ini 7.49m dan saya akan cuba sehabis mungkin untuk layak ke Sukan SEA kali ini.

“Saya tidak berani letak harapan tinggi, sebab kadang-kadang setiap kejohanan macam-macam boleh berlaku, jadi saya punya sasaran untuk Ahad ini ialah dapat (buat lompatan sejauh) 7.60m ke atas, itu pun sudah syukur kerana dapat momentum lompatan itu semula,” katanya

Abdul Latif merupakan antara dua atlet yang mencatat sejarah sebagai atlet para pertama menyertai temasya dwitahunan terbesar di Asia Tenggara itu dengan penampilan sulung di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, namun gagal meraih kedudukan podium.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu