Ibu bapa, guru perlu tingkatkan peranan pupuk budaya membaca [ 3m ago ]

Lelaki ditahan dipercayai terlibat kes samun, ragut di Kluang

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
JOHOR BAHRU, 14 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki yang masih menjalani pengawasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dipercayai terlibat dalam beberapa kes ragut dan samun di sekitar Kluang ditahan di sebuah rumah di Jalan Kampung Tengah dekat Kluang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh berkata lelaki berumur 31 tahun itu ditahan kira-kira 2 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bersama anggota Balai Polis Kluang menerusi operasi 'Op Rentap IPD Kluang'.

"Hasil soal siasat mendapati, lelaki berkenaan mengaku terlibat dalam tiga kes ragut dan samun termasuk kes ragut viral menerusi kamera litar tertutup baru-baru ini di kawasan Kluang selepas melarikan diri dari pengawasan POCA Rompin, Pahang, sejak Jun lalu.

"Semakan rekod mendapati lelaki terbabit mempunyai 16 rekod jenayah lampau dan masih dikehendaki bersabit kesalahan langgar syarat perintah pengawasan polis selain pemeriksaan air kencing yang dijalankan mendapati, lelaki berkenaan positif dadah jenis 'Meth'," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Abduh berkata, antara barangan yang dirampas dalam operasi berkenaan termasuk sebuah motosikal jenis Honda RS150, satu topi keledar berwarna hitam jenama SGV, sebuah beg bewarna hitam berjenama Longchamp dan sebuah dompet berwarna hitam jenama MCM.

"Turut dirampas, satu kad pengenalan, satu lesen memandu kelas D, tiga Mykid, enam kad ATM pelbagai bank, dua keping kad rawatan dan sekeping cek Maybank bernilai RM6,500.

"Selain itu, lapan helai resit deposit tetap Public Bank bernilai RM80,000, sebuah dompet berwarna hitam berjenama Yue Jin, sekeping resit rasmi Jabatan Imigresen Malaysia, sebuah beg berwarna hijau jenama Rillaruma, sebuah porch beg berwarna hijau, sebuah topi berwarna biru gelap, sehelai baju berwarna kelabu dan sehelai seluar jeans pendek berwarna biru lusuh," katanya lagi.

Katanya, lelaki berkenaan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana ragut dan Seksyen 392 kanun sama kerana samun.

"Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mengenalpasti penglibatan lelaki itu dalam kes-kes lain serta usaha juga sedang dilakukan untuk mengesan rakan sejenayah yang masih bebas," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu