AM

MTDC, KPM TERUS BUKA PELUANG PEKERJAAN KEPADA PENUNTUT TAHUN AKHIR IPTA

14/08/2019 06:02 PM

BANGI, 14 Ogos (Bernama) -- Perubahan ekosistem pekerjaan, perkembangan pesat teknologi dan revolusi industri 4.0 menjadi cabaran kepada graduan institut pengajian tinggi untuk berdaya saing di peringkat nasional dan global.

Bagi menyedia dan membangunkan penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menghadapi cabaran berkenaan, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meneruskan program KPM MTDC Graduate Employability I4.0 (GE I.40), kohort kedua untuk pelajar tahun akhir IPTA di seluruh negara. 

Ketua Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata sebagai peneraju utama dalam Industri 4.0, program berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan graduan bagi memenuhi sektor pekerjaan di syarikat berteknologi di dalam ekosistemnya. 

"Peranan utama MTDC adalah untuk mengenal pasti dan menyediakan platform bagi usahawan peniaga kecil dan sederhana untuk berkecimpung dalam Industri 4.0. Manakala IPT pula perlu melahirkan graduan yang bersedia untuk Industri 4.0 agar mampu memenuhi keperluan industri”.

"Bagi memastikannya, graduan hari ini tidak perlu terlalu terikat dengan bidang yang mereka pelajari di universiti sebaliknya perlu memiliki fleksibiliti dan kepakaran dalam pelbagai bidang untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka," kata Norhalim pada majlis penutup Program GE I4.0 itu di sini.

Norhalim berkata sebanyak 150 pekerjaan disediakan daripada 34 syarikat berteknologi di bawah ekosistem MTDC, syarikat dalam komuniti industri 4.0 MTDC dan syarikat multinasional secara latihan pekerjaan selama tiga bulan.

Peserta yang berjaya berpeluang diserap terus ke syarikat terlibat selepas menjalani latihan tersebut, katanya.

Bagi pihak usahawan MTDC pula, beliau berkata mereka dapat memilih bakal pekerja menerusi program temuduga terbuka yang memberi peluang kepada 100 peserta yang merupakan penuntut tahun akhir IPTA seluruh Malaysia berinteraksi dengan industri bagi mendapat tempat sebaik program GE I4.0 tamat.

Bagi IPTA, ia dapat membangunkan program yang boleh memenuhi keperluan industri menerusi input dan data yang diberi industri.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar KPM, Normah Osman berkata GE I4.0 merupakan program kebolehpasaran graduan berimpak tinggi yang dilaksanakan di peringkat nasional yang turut memberi nilai tambah kepada peserta melalui bengkel peningkatan dan penerapan aspek kemahiran yang diperlukan industri.

Pada tahun pertama GE I4.0, 80 peratus graduan dari program berkenaan telah berjaya diserap terus secara tetap ke dalam syarikat.  

MTDC ditubuhkan sebagai agen pemacu pembangunan syarikat berasaskan teknologi, menggalakkan pemindahan hasil penyelidikan dan pembangunan (P&P) tempatan dan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri modal teroka di Malaysia.

MTDC turut menyediakan perkhidmatan sokongan bersepadu untuk usahawan teknologi yang termasuk khidmat nasihat seperti mentor, pinjaman mudah, penjenamaan, pengumpulan dana, kerjasama antarabangsa dan rangkaian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan