UMW semak semula keputusan suku kedua 2019 [ 4m ago ]

Lepasan SPM digalak sertai MARii, peluang cerah bekerja dalam industri

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KOTA KINABALU, 14 Ogos (Bernama) -- Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi digalakkan mengikuti kurus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Ts. Madani Sahari berkata pelajar berkenaan akan menjalani latihan industri (LI) di MARii selama enam bulan sebelum ditempatkan di mana-mana syarikat tempatan untuk bekerja.

"Latihan dijalankan di institut MARii selama sebulan sebelum menjalani latihan industri selama lima bulan di mana-mana syarikat tempatan. Selepas LI biasanya mereka akan ditawarkan bekerja dengan syarikat di tempat mereka menjalani LI atau di syarikat lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Antarabangsa mengenai Kemajuan dalam Kejuruteraan Mekanikal (ICAME) 2019 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, di sini hari ini.

Madani berkata MARii membuka pendaftaran pengambilan pelajar baharu setiap bulan untuk diberikan latihan secara percuma tetapi terhad kepada 75 orang pelajar sahaja bagi setiap sesi.

Beliau berkata sejak MARii ditubuhkan pada 2010 sehingga kini seramai 4,000 pelajar telah menjalani latihan di institut itu.

Mengenai program itu, Madani berkata ia bertujuan untuk membincangkan idea dan isu-isu berkaitan mekanikal kejuruteraan bersama pakar-pakar dari luar negara antaranya dari Korea Selatan, Jerman dan Jepun.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu