Man seriously hurt after pet macaque bit him [ 4h ago ]

120 buah rumah di Bagan Datuk terjejas akibat taufan Lekima

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
BAGAN DATUK, 14 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 120 rumah di mukim Hutan Melintang dan Rungkup, di sini mengalami kerosakan akibat terkena tempias Taufan Lekima, Sabtu lalu.

Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Zaliha Mustafa berkata 80 rumah di Hutan Melintang dan 40 lagi di Rungkup mengalami pelbagai kerosakan termasuk hilang atap selain terdapat struktur kediaman yang runtuh.

Katanya, kos kerugian akibat kejadian tersebut dianggarkan berjumlah RM173,300.

“Kita dimaklumkan ada seorang wanita berusia 40-an cedera dan sebuah rumah dari 120 buah itu ‘total lost’, keadaannya teruk sekali.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengagihkan kit bencana kepada mangsa dan kita akan lihat bagaimana keadaan rumah untuk kemungkinan bantuan lain,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah terjejas di sini, hari ini.

Zaliha berkata pihaknya bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah sentiasa memantau dan mengambil berat keadaan mangsa dengan menghantar pelbagai bantuan termasuk keperluan membaik pulih rumah seperti batu-bata dan bumbung.

Sementara itu, seorang mangsa dari Bagan Sungai Belukang di Selekoh, Ruhaida A. Ghani, 43, berkata semasa kejadian berlaku dia yang sedang tidur di dalam bilik terkejut apabila atap rumahnya bergegar dengan kuat.

Ruhaida yang mempunyai lima orang anak itu berkata dia dan suami, Mohamad Sufian Yusuf @ Tajuni, 43, kemudian panik selepas melihat kesemua atap rumahnya terbang ditiup angin sebelum hujan lebat memasuki rumahnya.

“Hujan lebat terus masuk ke dalam rumah dan kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana atap semuanya sudah tiada dan kami yang dalam keadaan takut terus masuk ke dalam kereta, berlari ke rumah ibu saya kira-kira 300 meter dari rumah ini,” katanya.

Ruhaida yang telah menetap di rumah itu sejak 13 tahun lalu berkata kejadian tersebut pertama kali berlaku dan ia adalah pengalaman paling buruk menimpa keluarganya terutama menjelang Hari Raya Aidiladha.

“Ini adalah pengalaman paling buruk kami. Kami tidak dapat beraya malah terpaksa memikirkan bagaimana untuk mencari duit membaik pulih rumah yang kemungkinan memakan kos sehingga lebih RM10,000,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu