Man seriously hurt after pet macaque bit him [ 4h ago ]

Tunggang motosikal secara melulu, duda anak satu dipenjara, didenda

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Seorang duda anak satu dipenjara tiga hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Trafik di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya, Ahad lepas.

Majistret Puteri Nursheila Rahim memerintahkan Muhammad Sukri Mubin, 28, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan akan dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda serta lesen memandunya digantung dua tahun.

Dia didakwa menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya sambil melakukan aksi menundukkan kepala yang mana perbuatan tersebut adalah merbahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, pada 3.11 pagi, 11 Mei lepas.

Juruteknik itu didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.

Ketika rayuan, Muhammad Sukri yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa beliau adalah penanggung utama keluarga.

"Saya rayu hukuman penjara yang singkat dan denda kurang, saya ada anak yang perlu diberi nafkah. Saya juga menanggung keluarga," katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu