Man seriously hurt after pet macaque bit him [ 4h ago ]

Kerajaan N.Sembilan ucap takziah buat keluarga Nora Anne

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
Datuk Seri Aminuddin Harun
SEREMBAN, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Nora Anne Quoirin selepas penemuan mayat remaja itu semalam yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lepas.

"Kami juga berasa sedih atas kehilangan beliau kerana mereka tetamu kerajaan negeri. Kami bersimpati dengan apa yang berlaku dan berharap keluarga Nora Anne Quoirin bersabar.

"Kami harap kejadian ini adalah yang pertama dan terakhir berlaku di Negeri Sembilan dan Malaysia amnya dan begitu juga kami berharap perkara ini tidak akan berulang lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Semalam, pasukan SAR menemukan mayat remaja Ireland yang berumur 15 tahun itu yang dilapor hilang dari resort tersebut pada 4 Ogos.

Pengecaman mayat itu dibuat oleh keluarga remaja berkenaan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang mayat itu dibawa untuk proses bedah siasat.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di resort itu oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Zaharuddin Mohd Shariff, 62, yang meninggal dunia akibat jangkitan pada organ dalaman di Hospital Tampin, Isnin lepas.

Katanya kerajaan negeri mengucapkan terima kasih atas jasa dan pengorbanannya kepada negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata beliau akhirnya dapat berjumpa dengan ibu bapa remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15, petang ini.

"Saya berjumpa ibu Nora, Meabh Jaseprine Quoirin dan suaminya, Sebastian Marie Philipe di resort di Pantai, Seremban di sini pada pukul 4 petang tadi. Turut bersama ialah ahli keluarga mereka serta Duta Besar Ireland dan Konsulat Jeneral Perancis. Dalam perjumpaan itu saya menyampaikan ucapan takziah Kerajaan Negeri Sembilan kepada mereka.

"Dalam masa yang sama, saya memaklumkan kesediaan Kerajaan Negeri Sembilan untuk membantu keluarga mereka. Meabh dan Sebastian mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sembilan terutama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang banyak membantu mereka.

Selain itu, mereka juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan keselamatan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak 4 Ogos sehingga semalam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu