Man seriously hurt after pet macaque bit him [ 4h ago ]

Tukang paip cederakan pemandu Grab semasa merompak dipenjara tiga tahun

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Seorang tukang paip dihukum penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan ke atas seorang pemandu Grab.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Mar Kong Ming, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan cedera semasa melakukan rompakan terhadap Yeoh See Yeh, 33, di tepi Jalan Teratai 2, Setapak, di sini pada 2.45 petang, 9 Mei 2019.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 16 Mei 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat atau denda.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia penyara tunggal keluarga dan mempunyai dua anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kecederaan, trauma dan kerugian yang dialami mangsa.

"Juga mengambil kira kekerapan jenayah samun supaya memberi pengajaran kepada pesalah,” katanya.

Mahyon turut menasihati tertuduh yang akan menjalani hukuman itu di Penjara Kajang supaya belajar kemahiran di dalam penjara agar dapat mempraktiknya selepas dibebaskan.

"Di penjara nanti belajar buat kemahiran pertukangan, buat roti atau gunting rambut...Jangan buat jenayah lagi," katanya kepada tertuduh yang hanya menundukkan kepalanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu