Skuad Bola Sepak CP sasar emas pada sukan Para ASEAN 2020 [ 12m ago ]

Cacat penglihatan bukan halangan bergelar penulis

Tarikh kemaskini: 24/07/2019
KOTA BHARU, 24 Julai (Bernama) -- Biarpun buta mata kiri sejak lahir namun ia tidak menjadikannya sebagai alasan untuk terus berpeluk tubuh dan mengenang nasib sebagai seorang orang kurang upaya (OKU), Amy Suzani Mohd Ainuddin, 52, untuk bergelar penulis yang berjaya.

Amy Suzani yang menetap di Taman Bakti, Pengkalan Chepa juga membuktikan walaupun kehidupan hariannya terpaksa bergantung kepada mata kanan yang juga terhad penglihatannya namun dia tidak berputus asa malah sentiasa berusaha meningkatkan hasil karyanya, selain bersikap positif.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera Universiti Malaya (UM) itu berkata sejak berkecimpung secara serius dalam bidang penulisan pada tahun 1991, beliau telah berjaya menghasilkan lebih 300 buku ilmiah selain puisi, cerpen, novel dan juga skrip drama radio.

“Minat yang mendalam terhadap penulisan selain hobi suka membaca sejak di bangku sekolah lagi, mendorong saya untuk menterjemahkan idea dan ilham yang ada ke dalam bentuk penulisan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Amy Suzani berkata, antara karya yang telah dihasilkan adalah buku berjudul Lambaian Hijrah, Sirna Buana, Kasih Yang Tiada Penghujungnya, Bila Hati Terguris, Kembang Semusim, Bagai Ombak Menderu, Kasih Melukut, Senyum Untuk Mama, dan juga Apologi Kepada Alam.

Katanya, walaupun hanya menggunakan komputer biasa yang terpaksa dibesarkan keluasan skrin sehingga 200 peratus dengan dibantu alat bantuan penglihatan terhad iaitu kanta pembesar untuk membaca dan menilai semula karya yang ditaip, namun ianya tidak mematahkan semangatnya untuk terus menulis.

Ibu kepada dua anak yang berusia 12 dan 11 tahun itu berkata, pada awal penulisan dia lebih cenderung kepada penulisan kisah remaja, dan kemudiannya beralih kepada sastera kanak-kanak.

“Kebanyakan karya yang dihasilkan berdasarkan pengalaman diri sendiri, masyarakat selain melalui pembacaan ilmiah yang lain, dan ianya sangat menggembirakan dan membanggakan apabila karya saya dibaca oleh anak-anak sendiri dan turut dimanfaatkan oleh orang ramai.

“Untuk memulakan ‘mood’ menulis, saya jarang melakukan draf penulisan dan kebiasaannya ilham dan idea untuk menulis akan datang secara spontan sahaja,” katanya.

Katanya, beliau mampu menyiapkan satu cerpen dalam masa satu hari sahaja, dan kebiasaannya untuk menyiapkan sebuah novel ia akan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan bergantung kepada jalan penceritaan.

“Terkini saya dalam proses untuk menyiapkan karya terbaru siri kanak-kanak yang berjudul Tasya dan Aqash dan juga skrip drama radio Seindah Hati Adhana sempena Aidiladha untuk Radio Kelantan FM,” katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga berkata, antara cabaran yang dihadapi sepanjang kariernya ini apabila beberapa karyanya pernah ditolak oleh syarikat penerbitan pada awal pembabitannya kerana tidak menepati apa yang dikehendaki selain buku hasil miliknya dicetak tanpa kebenaran dan tidak dibayar royalti apabila karyanya digunakan oleh sesetengah pihak.

“Dalam kehidupan kita tidak boleh ‘lari’ daripada masalah, dan prinsip saya sama ada kita akan terus jatuh ataupun ‘move on’ (teruskan) dan saya memilih untuk ‘move on’ walaupun terpaksa menghadapi cabaran ini dan terus kuat demi anak-anak dan diri sendiri,” katanya.

Katanya, sepanjang bergelar penulis, dia sudah meraih beberapa anugerah termasuk Anugerah Tokoh Akademik OKU sempena Sambutan Hari OKU (2014) dan Tokoh Budayawan OKU sempena Sambutan Hari OKU Muqarrabun 2017 Peringkat Negeri Kelantan dan Tokoh OKU Kelantan sempena Hari Sayyidatina Khadijah 2019 anjuran kerajaan negeri Kelantan.

Lebih membanggakan, apabila karya-karyanya kini menjadi sumber bacaan ramai dan secara tidak langsung menggalakkan minat membaca terutama golongan kanak-kanak.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu