Points dropped and Selangor's stuttering Malaysia Cup campaign continues [ 4h ago ]

RM2 juta untuk kajian awal Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai - Azmin

Tarikh kemaskini: 22/07/2019
PASIR SALAK, 22 Julai (Bernama) -- Kementerian Hal Ehwal Ekonomi meluluskan peruntukan RM2 juta kepada kerajaan Perak bagi menjalankan kajian awal berhubung infrastruktur di Pulau Pangkor menjelang pengisytiharan pulau itu sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) pada 1 Jan 2020.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata peruntukan tersebut diluluskan semasa pertemuan beliau dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Ipoh pagi ini.

Katanya keseluruhan peruntukan untuk menyediakan infrastruktur di Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai adalah sebanyak RM486 juta.

"Kita setuju untuk kerajaan negeri memulakan kajian awal dan daripada kajian itu ita dapat meneliti apakah infrastruktur yang diperlukan di pulau itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Silaturahmi Bersama Warga Felcra Seberang Perak di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet 2019 di Dewan Rakyat pada November lepas mengumumkan Pulau Pangkor akan dijadikan sebagai pulau bebas cukai.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata Perak mempunyai banyak industri yang perlu diperkembangkan antaranya automotif dan pelancongan bagi menarik lebih ramai pelabur datang ke negeri itu.

"Kita juga mahu ada kemudahan hubungan untuk menarik pelaburan besar seperti jaringan lebuh raya, internet... dapat ditingkatkan," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu