Cubaan rempuh polis, lelaki cedera ditembak di lengan [ 38m ago ]

Jadikan Tahun Melawat Malaysia 2020 misi nasional - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 22/07/2019
PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat Malaysia agar menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2020 sebagai misi nasional dengan bercerita dan berkongsi mengenai kecantikan, keamanan dan keindahan negara ini.

Beliau berkata setiap orang ada peranan yang perlu dimainkan untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di mana kerajaan akan memastikan kempen itu akan menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran-sasaran yang telah ditetapkan bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia.

“Keramah-tamahan kita bukan sekadar satu slogan tetapi diterjemahkan sebagai sifat semula jadi dan budaya rakyat negara kita.

“Keindahan sesuatu tempat itu akan menarik orang untuk datang tetapi keramah-tamahan penduduknya akan membuat orang tinggal lama dan datang semula,” katanya pada pelancaran Logo Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dr Mahathir berkata pelancongan adalah satu daripada sektor terpenting dalam memastikan ekonomi dan sektor perkhidmatan negara berkembang kerana ia bukan sahaja boleh menjana pendapatan tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan.

Beliau berkata kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 adalah satu peluang selain menjadi satu cabaran buat negara untuk menarik jumlah rekod kedatangan pelancong ke negara ini sebagai destinasi pilihan bagi pelancong sama ada yang datang untuk bersantai atau berniaga.

“Adalah diharapkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 akan berjaya mencapai sasarannya untuk menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 juta resit pelancongan,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata kertersambungan penerbangan dari destinasi-destinasi lain ke Malaysia adalah satu daripada inisiatif untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke Malaysia dan mencapai sasaran kempen.

“Kita mempunyai kemudahan udara yang lebih baik yang menghubungkan bandar raya-bandar raya lain dengan Malaysia, kita mampu menerima kedatangan lebih ramai pelancong,” kata beliau.

“Oleh itu, kita perlu menyambung dan menjangkau pasaran yang memberi ‘pulangan tinggi’ yang menjadi pasaran sasaran Malaysia untuk kempen ini, iaitu ASEAN, China, India, United Kingdom dan Jerman,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 juga banyak bergantung kepada promosi-promosi yang berkesan.

“Sektor pelancongan perlu bergerak seiring dengan transformasi digital dengan menekankan kepada pamasaran digital menggunakan pelbagai platform media sosial jika industri berkenaan ingin kekal berdaya saing,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia perlu sedar bahawa kejayaan kempen ini akan memberi manfaat kepada semua orang kerana tumpahan daripada industri pelancongan akan menjalar ke pelbagai perniagaan dan industri yang lain.

“Saya amat gembira apabila diberitahu bahawa projek kebangsaan ini menyaksikan penyertaan pelbagai peringkat dan sektor, kementerian-kementerian, agensi-agensi, jabatan-jabatan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan para pemain industri pelancongan sendiri,” katanya.

Dr Mahathir berkata kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 memfokus kepada ekopelancongan, seni dan budaya, sesuai dengan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 dan Dasar Budaya Kebangsaan yang meletakkan ekopelancongan, seni dan budaya sebagai fokus utama dan jalan menuju ke depan dalam pembangunan industri pelancongan di Malaysia.

“Menerusi kempen ini, kita akan menyambut lebih ramai pelawat dari seluruh dunia untuk merasai keunikan dan keindahan tarikan ekopelancongan Malaysia termasuk hutan hujan, gunung-ganang, pulau-pulau dan pantai-pantai.

“Pada masa yang sama, para pelawat juga mendapat peluang untuk melihat sendiri kepelbagaian budaya, seni, warisan dan sejarah kita, sejajar dengan tema kempen “Kebudayaan, Alam Semula Jadi dan Rakyatnya”.

Dr Mahathir berkata industri pelancongan Malaysia semakin berkembang dari semasa ke semasa dan sektor pelancongan telah menunjukkan prestasi yang mengagumkan akhir-akhir ini.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, kedatangan pelancong merekodkan pertumbuhan 4.8 peratus dengan jumlah kedatangan pelancongan sebanyak 10.95 juta berbanding 10.45 juta ketibaan pelancong dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata beliau.

Prestasi suku pertama tahun ini juga menunjukkan pertumbuhan dalam hasil pendapatan pelancongan yang mencecah RM21.4 bilion, lonjakan 16.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata beliau.

Tahun lepas, kira-kira 25.8 juta pelancong telah melawat Malaysia, dan Malaysia menduduki tempat ke-15 dalam negara-negara yang mempunyai jumlah kedatangan pelancong tertinggi.

Sebanyak 78.2 juta pelancong domestik juga dicatat pada 2018 dengan kadar pertumbuhan 10.9 peratus dari tahun sebelumnya, manakala perbelanjaan pelancongan domestik pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11.7 peratus pada 2018 dengan RM60.4 bilion, kata beliau.

Dr Mahathir berkata jumlah pekerja yang digajikan dalam industri pelancongan juga telah bertambah kepada 3.4 juta pada tahun 2017 daripada 1.5 juta pada 2005 manakala jumlah mereka yang bekerja dalam sektor pelancongan merupakan 23.2 peratus daripada keseluruhan jumlah tenaga buruh.

Pada 2017, industri berkenaan menyumbang 14.9 peratus kepada ekonomi nasional berbanding 10.4 peratus pada 2005, kata beliau.

“Malaysia menduduki tempat ke-21 antara negara-negara yang mencatat hasil pelancongan tertinggi, dengan membawa masuk RM84.1 bilion hasil pendapatan pelancongan pada 2018 seperti yang dinyatakan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dalam Laporan ‘Barometer’ yang diterbitkan pada bulan Mei 2019,” kata beliau.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu