MPT rangka pelbagai langkah untuk Tawau capai status bandaraya [ 5m ago ]

Empat usahawan Negeri Sembilan sertai Malaysia Fest di Singapura

Tarikh kemaskini: 22/07/2019
Datuk Seri Aminuddin Harun (Gambar fail)
SEREMBAN, 22 Julai (Bernama) -- Empat usahawan dari Negeri Sembilan akan menyertai Ekspo Pengguna ‘Malaysia Fest 2019’ yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis ini di Changi, Singapura.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata penyertaan berkenaan merupakan julung kalinya dibuat oleh kerajaan negeri dalam usaha mempromosikan lagi produk industri asas tani berasaskan makanan dan minuman.

Beliau berkata empat usahawan berkenaan akan mengetengahkan produk seperti teh dan kopi berasaskan buah harra, kacang salut, nasi beriani, produk berasakan roselle dan sarang burung walit.

"Kita harap banyak lagi usahawan di Negeri Sembilan boleh diketengahkan dan ini sekali gus dapat mendatangkan impak ekonomi kepada kerajaan negeri dan dalam masa yang sama dapat melahirkan lebih ramai usahawan baharu terlibat dalam projek berasaskan makanan dalam industri di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan produk asas tani Negeri Sembilan ke Singapura bagi Ekspo Pengguna 'Malaysia Fest 2019’, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Ekspo itu bertujuan memperkukuh dan memperluaskan lagi pasaran produk keluaran Malaysia ke Singapura untuk meningkatkan nilai eksport usahawan bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta pihak yang mengambil bahagian seperti kerajaan negeri, kementerian dan agensi.

Selain itu, ia turut menyediakan platform kepada usahawan Malaysia bagi mempromosi, memperkenal serta membuat jualan produk keluaran mereka secara langsung kepada pengguna di Singapura dan membuat risikan pasaran mengenai tabiat kepenggunaan, kebolehpasaran dan tahap saingan produk keluaran usahawan Malaysia.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu