Minta sedekah, wanita Myanmar didenda maksimum RM100 [ 4m ago ]

Datang dari jauh nikmati durian Musang King secara percuma

Tarikh kemaskini: 20/07/2019
SEREMBAN, 20 Julai (Bernama) -- Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati durian Musang King secara percuma hari ini dalam Fiesta Musang King yang diadakan di Matrix Galleria Residensi SIGC di sini, anjuran Matrix Concepts Holding Berhad.

Beratur panjang dan berpanasan tidak menjadi masalah kepada pengunjung malahan ada yang sanggup datang dari jauh untuk menikmati raja buah itu pada pesta yang berlangsung pukul 11 pagi.

Pekerja swasta dari Selangor Nurul Farhana Yusof, 34, berkata beliau datang bersama suami untuk menikmati durian Musang King memandangkan durian itu terlalu mahal dan hanya boleh didapati mengikut musim.

"Saya dan suami memang penggemar durian, durian ini semua orang tahu ia bermusim dan mahal walaupun pada musimnya, jadi bila ada fiesta sebegini saya tidak melepaskan peluang walaupun datang dari jauh," katanya di sini, hari ini.

Seorang jurubina, Mohd Aidil Zulkarnain berkata menikmati buah durian lebih meriah apabila beratur beramai-ramai untuk bersama-sama makan raja buah tersebut.

"Tidak hairan bila tiba musimnya, saya sanggup mencari buah ini, beratur panjang dan panas tidak menjadi masalah kepada saya tambah pula ia diberi secara percuma," katanya yang menetap di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran Matrix Concepts Lim Kok Yee berkata ini merupakan penganjuran kali kedua selepas diadakan di Ara Sendayan baru-baru ini.

"Ketika di Ara Sendayan, sambutan adalah di luar jangkaan dengan kedatangan pengunjung mencecah 2,000 orang dan selesai dalam masa dua jam. Pada hari ini sebanyak dua tan durian Musang King disediakan untuk para pengunjung," katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu