Kumpulan pertama jemaah haji dari Kelantan selamat tiba [ 3h ago ]

Konvensyen Nunji 2019 di MITC Melaka

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) – Konvensyen Nunji 2019 (Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah) atau Himpunan Ilmuwan (Ulama) Kebangkitan Baharu akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka pada 20 Julai ini.

Pengerusi Akademi Nunji Zolkharnain Abidin berkata konvensyen nasional kali ketiga itu yang bertemakan ‘Mengisi Kemenangan, Memartabatkan Islam’ bertujuan memberi pencerahan kepada segenap lapisan masyarakat mengenai agenda kerajaan dalam mendaulatkan Islam.

“Menerusi kerajaan baharu ini, kami cuba untuk mengisi kemenangan dengan membentuk Malaysia baharu melalui idea-idea serta gagasan Islam yang lebih segar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui, di Wisma Bernama, hari ini.

Beliau berkata objektif utama konvensyen yang bermula dari 8 pagi hingga 5 petang itu ialah untuk mempromosi konsep Rahmatan lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah dalam kenegaraan sekali gus menjadi medan perbincangan dan gerak kerja seterusnya mengaplikasi konsep itu dalam landskap politik Malaysia baharu.

“Kami akan mengadakan forum selain membentangkan tiga kertas utama iaitu Maqasid Syariah, Politik Melampau dan Rasisme yang akan dibentang oleh panelis yang cukup prolifik dari pelbagai latar dan bidang kepakaran,” katanya.

Antara panelis yang akan terlibat dalam konvensyen itu ialah Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Pada masa sama, Zolkharnain berkata pihaknya menyasarkan 1,300 peserta selain memberi peluang kepada setiap peserta untuk menyuarakan sebarang persoalan, idea bahkan kritikan pada konvensyen itu.

“Adalah menjadi harapan kami, supaya peserta yang mengikuti konvensyen ini boleh menjadi duta dalam membawa idea kami dan kalau boleh menganjurkan acara seperti ini di tempat masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu