Mitra provides IR4.0 training for benefit of Indian community [ 5h ago ]

Semua pihak bertanggungjawab jika kemalangan berlaku di tapak pembinaan - DOSH

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
GEORGE TOWN, 18 Julai (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) kini menetapkan garis panduan bahawa setiap pihak yang terlibat dalam industri pembinaan bertanggungjawab sekiranya berlaku kemalangan di tapak pembinaan.

Ketua Pengarah DOSH, Omar Mat Piah berkata di bawah undang-undang sekarang, hanya kontraktor yang bertanggungjawab jika berlaku kemalangan di tempat kerja.

"Kami amat bimbang kerana banyak kematian berlaku di tapak pembinaan bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi di negeri-negeri lain.Jadi kini kami menetapkan garis panduan untuk semua pihak bertanggungjawab bukan sahaja kontraktor tetapi juga pemilik, pemaju serta pereka.

"Kami mempunyai garis panduan yang kebanyakannya secara sukarela tetapi ia akan menjadi mandatori mungkin pada suku pertama tahun depan," katanya pada sidang media selepas perasmian Persidangan Pembinaan Antarabangsa Pulau Pinang 2019 oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Beliau berkata garis panduan itu juga akan mewujudkan kesedaran di kalangan pemaju, pereka dan kontraktor dalam industri pembinaan untuk memastikan tempat kerja selamat untuk pekerja dan orang ramai.

Omar berkata pada masa ini, DOSH sedang menjalankan usaha keterlibatan dan dialog serta latihan bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai pelaksanaan garis panduan tersebut.

"Melalui promosi itu diharapkan mereka tahu apa yang harus dilakukan. Kemudian apabila kita menjadikannya sebagai peraturan, mudah untuk kita menguatkuasakannya," kata beliau.

Sementara itu, presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Foo Chek Lee berkata industri pembinaan mencatatkan jumlah kematian tertinggi berbanding industri lain.

Beliau berkata pada 2018, industri pembinaan merekodkan sejumlah 169 kematian berbanding 611 kematian dalam semua industri.

"Menurut kajian, pada dasarnya 30 hingga 40 peratus kemalangan dalam pembinaan disebabkan oleh kegagalan reka bentuk ... sebab itulah kami kini bekerjasama rapat dengan DOSH, CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) untuk mempromosikan garis panduan ini," katanya.

Persidangan dua hari bertemakan “Keselamatan dan Inovasi”, disertai lebih 200 peserta yang meliputi topik seperti Sistem Bangunan Industri, kestabilan cerun dan keselamatan serta cabaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam pembinaan MRT.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu