Kurang pengetahuan punca pekebun di Perak tidak dapat MSPO [ 7m ago ]

841 jenama PKS di hypermarket asing - Saifuddin

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
PETALING JAYA, 18 Julai (Bernama) -- Sebanyak 841 jenama syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan telah berjaya disenaraikan di enam rangkaian pasar raya besar asing di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kejayaan jenama tempatan itu adalah hasil aktiviti pembangunan produk yang dilaksanakan kementerian bagi tujuan mempromosikan produk keluaran tempatan.

“Kita amat berbangga dengan kejayaan mereka kerana ada antara mereka mendapat hasil nilai jualan mencecah jutaan ringgit.

“Kejayaan ini dapat mendorong usahawan PKS lain untuk meningkatkan kualiti dan produk mereka bagi terus bersaing secara sihat,” katanya selepas merasmikan Program Citarasa Malaysia (PCM) di Tesco Extra, Mutiara Damansara.

Sementara itu Saifuddin berkata PCM yang bermula hari ini sehingga Ahad, dengan kaedah tawaran pensampelan makanan kepada pengguna berupaya mewujudkan kesedaran pengunjung pasar raya tentang kewujudkan jenama tempatan.

Jelas beliau melalui program itu kementerian akan mengenal pasti produk yang berpotensi untuk dipasarkan ke pasaran yang lebih besar.

Sehingga 31 Jun lepas, sejumlah 1,745 usahawan PKS tempatan dengan pelbagai produk dan jenama telah berdaftar dengan kementerian.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu