Kurang pengetahuan punca pekebun di Perak tidak dapat MSPO [ 20m ago ]

Yunus anggap tuduhan terhadapnya asam garam politik, tak jejas fokus terhadap tugas

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
PARIT BUNTAR, 18 Julai (Bernama) -- Pengerusi Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamahri, berkata kontroversi atau tuduhan yang dilemparkan kepadanya langsung tidak menjejaskan fokusnya kepada tugas dan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Sebaliknya beliau menganggap sebarang pergolakan yang berlaku termasuk melibatkan serangan peribadi sebagai asam garam politik, malah ia memberi kematangan serta kekuatan kepadanya.

"Saya telah tiga penggal dalam politik. Ini adalah asam garam dalam politik dan ia memberikan kematangan dan kekuatan dalam diri untuk berkhidmat kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Skim Tabarruq kepada 40 waris di Pusat Khidmat Harapan di Kuala Kurau di sini, hari ini.

Pada 13 Julai lepas, bekas pegawai khas Abdul Yunus, Beh Yong Kean membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mendakwa Exco itu membocorkan minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi tujuan mendapatkan komisyen projek.

Dalam pada itu, Abdul Yunus, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau, berharap pemimpin PKR kembali kepada landasan asal dengan menghentikan politik kotor dan fitnah kerana rakyat muak serta menyampah dan dibimbangi boleh menjejaskan sokongan kepada parti.

"Kita kena ingat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) rakyat sokong kerajaaan Pakatan Harapan kerana hendakkan perubahan dan tsunami kepada Barisan Nasional (BN).

"Saya bimbang rakyat akan menghukum PH pada PRU akan datang jika politik jatuh menjatuhkan ini masih berlaku menyebabkan kerajaan tidak stabil," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu