Angler believed to have drowned while trying to save son [ 4m ago ]

Isu golongan muda perlu diselesai sebelum belia 18 tahun mula mengundi

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Isu anak muda perlu ditangani sebaik mungkin jika tidak langkah meminda had umur mengundi kepada 18 tahun berisiko 'memakan' Pakatan Harapan (PH), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.

Antara isu golongan muda yang perlu diberi perhatian ialah isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), katanya ketika menjadi panel forum bertajuk 'Berubah Lapan Belas: Antara Trend, Kematangan dan Tanggungjawab' anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, hari ini.

Young Syefura, yang dikenali sebagai Rara berkata, tidak ada jaminan bahawa pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat itu akan mengukuhkan sokongan golongan muda kepada PH seperti tanggapan segelintir pihak.

"Kerajaan Pakatan Harapan perlu menangani pelbagai isu melibatkan anak muda sebelum golongan itu mengambil bahagian dalam pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong yang menjadi panel forum bertajuk "Ke Arah Automatik: Keperluan Atau Kehendak Semasa” mencadangkan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun perlu disertakan dengan pendidikan berkaitan demokrasi negara tanpa melibatkan mana-mana pengaruh politik.

Beliau mencadangkan SPR diberikan kuasa membuat pendidikan itu kerana sebagai badan bebas ia dapat menentukan silibus yang sesuai diajar dan bukan untuk doktrinasi generasi muda.

"Ini demi generasi muda kita, mereka akan buat keputusan. Sama ada akan sokong kerajaan atau pembangkang itu bukan asas pertimbangan kita kerana kita nak mengupaya orang muda supaya mereka boleh buat pilihan,” kata Wee.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga anggota panel pada di forum yang sama turut senada dengan Wee dan berkata had usia 18 tahun tidak menimbulkan masalah kematangan sama ada dari segi pengundi mahupun kredibiliti calon.

"Dalam umur 18 tahun ni ada macam-macam corak. Kita kena bagi keyakinan kepada anak muda kita.

"SPR boleh main peranan supaya mereka (pengundi muda) faham apa itu demokrasi sejarah negara. Ini perkara yang harus kita buat, rakyat mesti diberi peluang untuk memilih,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu