Tiada keperluan buat pembenihan awan - MB Johor [ 14m ago ]

Tiada wakil Kementerian Kewangan selia SRC - Saksi

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa SRC International Sdn Bhd (SRC) yang diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) tidak mempunyai wakil daripada Kementerian Kewangan bagi menyelia perjalanan syarikat itu seperti yang disyaratkan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan, Datuk Fauziah Yaacob, 63, berkata Kementerian Kewangan menyelia syarikat di bawah MKD dengan cara meletakkan wakil daripada kementerian sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

"Ini bertujuan agar wakil daripada kementerian dapat memberikan nasihat bersama ahli lain bagi menentukan hala tuju dan masa depan syarikat," katanya.

Saksi pendakwaan ke-53 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari ke-40 perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Suhaimi: Sepanjang Datuk memegang jawatan tersebut di Kementerian Kewangan, adakah SRC mempunyai ahli lembaga pengarah dari Kementerian Kewangan

Fauziah: Tidak ada.

Suhaimi: Bagaimana seliaan dibuat sekiranya tiada wakil dari kementerian

Fauziah: Tiada penyeliaan. Walaupun ada usaha untuk mendapatkan penyata kewangan syarikat tersebut tetapi tiada maklum balas diberikan kepada kementerian.

Suhaimi: Seterusnya sebagai ketua yang bertanggungjawab apakah tindakan Datuk

Fauziah: Kementerian Kewangan mengemukakan cadangan untuk melantik Datuk Seri Dr Mohmad Isa Hussain sebagai ahli lembaga pengarah SRC melalui memo bertarikh 3 Mac 2015.

Merujuk kepada memo pelantikan tersebut, Fauziah berkata antara tujuan pelantikan Mohmad Isa adalah bagi menentukan hala tuju SRC, di mana kementerian berpendapat bidang perniagaan dan pelaburannya masih tidak jelas.

"SRC juga antara syarikat yang sering lewat menghantar penyata kewangan bagi seliaan Kementerian Kewangan.

"Memo itu kemudian telah dipersetujui Menteri Kewangan Kedua ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah," kata Fauziah yang telah bersara pada 29 Julai 2015.

Bagaimanapun, menurut Fauziah sehingga hari persaraannya, beliau tidak mengetahui sama ada Mohmad Isa dilantik atau tidak.

Ketika disoal balas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, saksi itu berkata beliau tidak pernah melihat sebarang memo yang menyatakan kelulusan Kementerian Kewangan untuk menjadikan SRC syarikat di bawah MKD, sepanjang tempoh beliau memegang jawatan itu.

Fauziah juga bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa cadangan pelantikan ini hanya timbul apabila media mula menyiarkan laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain khabar angin di dalam kementerian sendiri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu