Points dropped and Selangor's stuttering Malaysia Cup campaign continues [ 4h ago ]

Bakhtiar Hussin dilantik pengerusi YIDE baharu

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
SHAH ALAM, 18 Julai (Bernama) -- Bekas Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Bakhtiar Hussin dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang baharu berkuatkuasa Selasa lepas.

YIDE dalam satu kenyataan memberitahu, pelantikan itu dibuat atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menggantikan Datuk Setia Mohamad Adzib Isa yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi yayasan tersebut.

“Pelantikan Bakhtiar sebagai pengerusi YIDE adalah tepat kerana pengalamannya yang luas sebagai pentadbir di Selangor serta pernah menerajui MAIS sebagai setiausaha pada 2014 hingga 2018.

“Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Klang dari tahun 2006 hingga 2013 selain menjadi Ketua Pengarah Setiausaha Pejabat Dewan Undangan Negeri Selangor dari tahun 2001 hingga 2006,” kata kenyataan itu, di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, hubungan baik Bakhtiar dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor korporat juga mampu memberi impak dari segi sumbangan khususnya kepada YIDE untuk disalurkan kepada golongan sasar seperti anak yatim, pesakit hemodialisis dan mangsa musibah.

Yayasan itu turut berharap pelantikan pengerusi baharu itu dapat meneruskan misi dan visi YIDE.

YIDE yang ditubuhkan pada 2011 dinaungi oleh Sultan Sharafuddin dan merupakan agensi di bawah MAIS yang bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan di negeri berkenaan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu