Cubaan rempuh polis, lelaki cedera ditembak di lengan [ 42m ago ]

Masakan Malaysia menceriakan penggemar makanan Kerala

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
NEW DELHI, 18 Julai (Bernama) -- Pertunjukan makanan dan kebudayaan Malaysia anjuran Tourism Malaysia di Kerala, sebuah negeri di selatan India minggu lepas, mendapat sambutan hangat daripada para penggemar makanan tempatan.

"Penduduk di Kerala terbukti amat menggemari makanan dan mereka sangat menghargai masakan Malaysia berdasarkan jumlah pengunjung yang datang setiap hari," kata Logi Dhasan Thanaraj, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia untuk India Selatan dan Sri Lanka.

Acara yang berlangsung seminggu itu berakhir Ahad di hab Kerala, Kochi.

Ketika chef Zainal Abidin Yahya menghidangkan tetamu dengan masakan asli Malaysia, sekumpulan enam orang enari dari Kuala Lumpur pula menghiburkan pengunjung dengan persembahan kebudayaan di Kochi Marriott Hotel.

"Ini adalah sebahagian daripada promosi pelancongan yang diadakan di selatan India dengan sokongan Malindo Air," kata Logi.

Dengan India menjadi antara 10 sumber pelancongan terbesar Malaysia, Tourism Malaysia telah mempertingkatkan aktiviti promosinya di India untuk mencapai sasaran menarik sekurang-kurangnya sejuta pelancong setahun dari negara itu.

Sejumlah promosi dijalankan dengan kerjasama para pengusaha pelancongan dan syarikat penerbangan India, untuk mengambil kesempatan daripada pertumbuhan perhubungan udara antara kedua-dua negara.

Promosi pelancongan besar-besaran akan diadakan di beberapa bandar raya seperti Amritsar, Mumbai dan Hyderabad bulan ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu