Kumpulan pertama jemaah haji dari Kelantan selamat tiba [ 4h ago ]

Video seks libatkan menteri tulen, proses pengecaman wajah negatif - KPN

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Hasil analisis CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) terhadap video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata bagaimana pun hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video itu dengan individu yang dimaksudkan.

"Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia mendedahkan bahawa wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hamid berkata video itu disebar dengan tujuan membangkitkan kegusaran masyarakat dan ia dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Setakat ini lapan orang termasuk Haziq Abdullah telah ditahan bagi membantu siasatan kes video itu.

-- BERNAMA










       Berita Utama Terdahulu