MPT rangka pelbagai langkah untuk Tawau capai status bandaraya [ 7m ago ]

Jaga adab dan tatatertib pada persidangan DUN - Adly

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
MELAKA, 18 Julai (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Adly Zahari mahu semua wakil rakyat negeri ini supaya sentiasa menjaga adab dan tatatertib terutamanya ketika sedang berbahas pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata sebagai seorang pemimpin, mereka perlu saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira ideologi politik dengan menjadikan dewan sebagai medan terbaik bagi membincangkan isu berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Saya sentiasa mengingatkan kepada semua (wakil rakyat) termasuk diri sendiri agar menggunakan dewan itu sebaiknya yang mana keutamaan kita adalah mendukung kepentingan rakyat dalam melaksanakan amanah dan tugasan yang diberikan.

"Selain itu, kita juga mahu agar 'diasingkan' perkataan-perkataan yang menghina ini kepada individu sama ada melibatkan kerajaan atau pun wakil pembangkang (bagi mengelakkan tercetusnya provokasi)," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada Selasa lepas, Persidangan DUN ke-14 Melaka kecoh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee mengeluarkan perkataan ‘UMNO mati tinggalkan hutang’ yang kemudian menimbulkan perbalahan dengan beberapa anggota pembangkang.

Sementara itu ketika sesi Dewan, Adly menasihati pemimpin di negeri ini agar menjadi pelindung kepada rakyat dalam menjalankan amanah sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat.

Adly yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil berkata dalam buku pemikiran Melayu, ‘Sulalatus Salatin’ ada menyebut bahawa pemimpin sebagai pelindung yang di ibaratkan sebagai pohon atau pokok yang melindungi apa sahaja yang berada dibawahnya.

“Ada dicatatkan dalam buku tersebut (Sulalatus Salatin) bahawa, pohon yang rendang di tengah padang, batangnya untuk tempat bersandar, dahan untuk bergantung, buahnya untuk dimakan dan duan untuk berlindung membawa maksub tersirat dan ianya merupakan gambaran bagimana seseorang pemimpin itu dinilai,”katanya ketika menggulung perbahasan.

Pada persidangan DUN selama empat hari itu yang bermula 14 Julai sebanyak 15 soalan bertulis dijawab oleh wakil kerajaan dan meluluskan satu usul iaitu Rang Undang-undang Industri Berasaskan Kayu (Pindaan) 2019 dengan sebulat suara.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu