"Tak pernah dengar angin sekuat itu" - Mangsa ribut [ 3m ago ]

Lima belas peratus inisiatif NACP berjaya dilaksanakan - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 18/07/2019

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Sebanyak 15 peratus atau bersamaan 17 inisiatif daripada 115 inisiatif yang digariskan dalam pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) telah selesai dilaksanakan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia melibatkan sembilan inisiatif bagi bidang tadbir urus politik, dua untuk pentadbiran sektor awam, tiga untuk perundangan dan kehakiman, satu untuk penguatkuasaan undang-undang dan dua untuk tadbir urus korporat, katanya.

"Daripada 22 inisiatif keutamaan dalam NACP, 32 peratus bersamaan enam inisiatif telah diselesaikan membabitkan tiga bidang tadbir urus, satu untuk pentadbiran, dua untuk perolehan awam dan satu untuk tadbir urus korporat," katanya.

Ini dimaklumkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) pada mesyuarat siri yang ke-sembilan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, komitmen kerajaan hari ini dalam meletakkan agenda pencegahan rasuah sebagai antara keutamaan telah membuahkan hasil.

"NACP yang telah dilaksanakan selama hampir enam bulan menunjukkan reaksi positif. Keyakinan masyarakat dan masyarakat antarabangsa terhadap keseriusan kerajaan hari ini dalam menangani permasalahan rasuah, integriti dan governans juga boleh dilihat dalam kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Siri 13/2018," katanya.

Beliau berkata, JKKMAR dimaklumkan bahawa persepsi rakyat terhadap keseriusan kerajaan dalam perkara ini meningkat 11 peratus daripada 59.8 peratus pada tahun 2016 kepada 70.8 peratus tahun lepas.

Berdasarkan petunjuk antarabangsa, Malaysia turut mencatatkan peningkatan termasuk laporan Edelsmann Trust Barometer Global yang menunjukkan tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan meningkat kepada 60 pada tahun 2019 berbanding 46 pada tahun 2018, katanya.

Asian Corporate Governance Association (ACGA) turut meletakkan kedudukan Malaysia di dalam Corporate Governance Watch naik tiga anak tangga daripada tempat ketujuh pada tahun 2016 ke tangga keempat pada tahun 2018.

Economist Intelligence Unit (EIU) pula melaporkan Indeks Demokrasi 2019 naik ke tempat 52 berbanding 59 (2018), manakala Indeks Kebebasan Media 2019 meletakkan Malaysia di tangga pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara berada di tangga 123 berbanding 145 negara di dunia, katanya.

Dr Mahathir berkata, dalam World Bank Ease of Doing Business pula, kedudukan Malaysia meningkat sembilan tangga daripada tangga ke-24 pada tahun 2018 dan naik ke tangga 15 pada tahun 2019.

Beliau berkata beberapa perkara dasar telah dilaksanakan turut menyumbang kepada peningkatan persepsi rakyat terhadap keseriusan kerajaan dalam permasalahan rasuah, integriti dan governans.

Antaranya tiada pelantikan ahli Parlimen sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah dalam Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC) kecuali membabitkan Khazanah Nasional Bhd.

"Berbanding sebelumnya syarikat GLC utama kerajaan seperti Tabung Haji, MARA dan Felda FGV diterajui ahli Parlimen sehingga mengakibatkan kerugian yang besar sehingga hari ini," katanya.

Setakat ini tiada lagi perolehan secara rundingan terus dibuat bagi projek pembangunan fizikal di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Kini JKR melaksanakan kaedah tender terbuka 100 peratus bagi semua projek pembangunan fizikal Rancangan Malaysia Ke-11. Ini adalah jauh lebih baik di mana pada tahun 2017 hanya 30 peratus sahaja yang dibuat melalui tender terbuka dan 58 peratus tender terhad manakala 12 peratus secara rundingan terus," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata kewibawaan institusi Parlimen dapat dikembalikan di mana Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang dilantik telah meletak jawatan daripada jawatan politik dalam parti dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dilantik dari kalangan parti pembangkang.

"Pendedahan maklumat yang lebih telus kepada umum seperti laporan Kertas Putih Felda, Tabung Haji dan laporan Siasatan Projek Land Swap Kementerian Pertahanan dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu