Whale shark carcass found in Tanjung Tohor waters [ 3m ago ]

Dewan Rakyat lulus usul kajian semula persempadanan pilihan raya Sabah

Tarikh kemaskini: 17/07/2019
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Usul mengenai laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri di Dalam Negeri Sabah kali keenam tahun 2017, diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Usul merangkumi pertambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi bacaan kali kedua, diluluskan selepas mendapat sokongan 158 daripada 222 ahli Parlimen, menerusi undi belah bahagi.

Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, usul itu dikehendaki dipersetujui dengan undi tidak kurang daripada setengah jumlah ahli Parlimen.

Usul itu diluluskan selepas hampir tiga tahun DUN Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 73, berbanding 60 pada 9 Ogos 2016.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini telah menyiapkan laporan kajian semula persempadanan dan diserahkan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Feb 2017, namun tidak diusul untuk dibentangkan pada sidang Parlimen ke-13 lepas.

Dr Mahathir ketika membentangkan usul itu berkata, SPR mengesyorkan 13 bahagian ditambah iaitu Bengkoka, Bandau, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Turut disyorkan pindaan nama ke atas satu bahagian pilihan raya Persekutuan di Sabah iaitu P. 188 Silam ditukar nama kepada Lahad Datu, selain N.17 Tanjong Aru kepada N.22 Tanjung Aru; N.50 Lahad Datu kepada N.62 Silam; dan N.59 Tanjong Batu kepada N.71 Tanjung Batu.

Beliau berkata, pertambahan kerusi DUN Sabah itu akan memberi manfaat kepada rakyat terutama dalam memperoleh perkhidmatan lebih cekap dan berkesan daripada wakil rakyat, selain meningkatkan taraf hidup serta merancakkan pembangunan di negeri itu.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika menggulung perbahasan usul itu berkata Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) sedang meneliti dan mengkaji kaedah baharu penamaan calon yang lebih teratur.

Ia juga bagi memudahkan dan memberi keselesaan kepada semua pihak.

Katanya, SPR telah mengambil langkah menambah baik sistem dan proses pilihan raya termasuk menyediakan dua saluran mengundi untuk warga emas dan Orang Kelainan Upaya serta memanjangkan tempoh masa pengundian dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang ketika Pilihan Raya Kecil, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Sidang dewan bersambung esok.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu