Kurang pengetahuan punca pekebun di Perak tidak dapat MSPO [ 2m ago ]

Pharmaniaga lantik pengerusi, pengarah baharu

Tarikh kemaskini: 17/07/2019
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pharmaniaga Bhd melantik Datuk Dr Hafsah Hashim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Bhd sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas, berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata ia turut melantik tiga Pengarah Bukan Eksekutif Bebas yang baharu, iaitu Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, Datuk Mohd Shahrom Mohamad dan Datuk Mohd Zahir Zahur Hussain.

Senarai pelantikan itu turut termasuk Datuk Koo Hock Fee sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas.

"Dengan pengalaman luas dan kepakaran mereka merentasi industri, kumpulan yakin mereka akan membolehkan Pharmaniaga terus maju dalam landasan pertumbuhannya," menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Hafsah, yang menerajui SME Corp selama lebih 13 tahun, juga adalah ahli Lembaga Pengarah Johor Corporation, Zurich Takaful Malaysia Bhd dan Sirim Bhd.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail bertanggungjawab menubuhkan unit pakar hati pertama di Malaysia, dan menjadi penasihat kepada Royal College of Physicians, London sejak 1997.

Beliau kini merupakan Pro-Canselor dan Pengerusi Lembaga Pengelola MAHSA University dan pakar perunding hepatologi dan pakar perubatan dalaman di Pusat Perubatan Prince Court.

Mohd Shahrom mempunyai kerjaya undang-undang yang cemerlang dan terlibat dalam banyak perjanjian strategik berprofil tinggi, kontrak dan projek selama bertahun-tahun, termasuk perjanjian konsesi kerajaan di Malaysia dan antarabangsa.

Beliau kini merupakan ahli Chartered Institute of Arbitrators, London, penimbang tara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia dan Felo Institut Penyelesaian Pertikaian Alternatif Asia.

Mohd Zahir sebelum ini Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd dari 2012 hingga 2015 dan kemudian menjadi Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikatnya, Prasarana Integrated Development hingga 2017.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengauditan, perakaunan dan kewangan dan kini merupakan ahli Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand serta Institut Akauntan Malaysia.

Sementara itu, Koo telah memegang beberapa jawatan kepimpinan dalam pelbagai syarikat dalam Boustead Group dan kemudian dilantik kepada jawatan semasanya sebagai Pengarah Bahagian, Bahagian Perindustrian kumpulan pada 2005 dan pada masa yang sama Pengarah/Penasihat kepada UAC Bhd.

Beliau juga Felo Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales serta ahli Institut Akauntan Malaysia.

-- BERNAMA










       Berita Utama Terdahulu