Parents should educate children about cleanliness - Tengku Hassanal [ 2m ago ]

Tiada unsur provokasi dalam isu wang bayaran balik GST - Speaker Dewan

Tarikh kemaskini: 17/07/2019
Datuk Mohamad Ariff Md Yusof
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memutuskan tiada unsur provokasi dalam dakwaan Ahli Parlimen Bagan yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa wang tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ‘dirompak’ kerajaan terdahulu.

Beliau membuat keputusan itu susulan usul dibawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu merujuk Lim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (12) dalam kenyataan yang dibuatnya ketika sidang Dewan Rakyat Ogos tahun lepas.

Ini berikutan hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin lepas mendapati wang berjumlah RM19.4 bilion yang sepatutnya dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST sebenarnya digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Mohamad Ariff berkata beliau telah meneliti keseluruhan laporan PAC berkenaan bagi memastikan sekiranya terdapat kes prima facie untuk merujuk Lim ke jawatankuasa berkenaan.

"Maka saya mendapati tidak terdapat unsur provokasi Yang Berhormat Bagan merangkap Menteri Kewangan... dan oleh itu tidak melibatkan Peraturan Mesyuarat 36 (12).

"Saya telah merujuk kepada pelbagai perenggan dalam laporan itu dan semua bahagian yang relevan dalam keseluruhan laporan sungguhpun yang diajukan kepada saya hanya satu perenggan ayat," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, dewan kecoh kerana ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan penjelasan Mohamad Ariff itu termasuk Ismail Sabri yang mengusulkan supaya dibahaskan isu berkenaan.

Mohamad Ariff seterusnya meminta Ahli Parlimen Bera itu mengemukakan satu usul baharu bagi membincangkan keseluruhan laporan PAC.

Bagaimanapun, perkara berkenaan berlarutan hampir sejam sehingga menyebabkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa menunggu bagi membentangkan usul mengenai laporan Kajian Semula Persempadanan negeri Sabah.

Mohamad Ariff kemudian menegaskan bahawa keputusan yang dibuatnya adalah muktamad bagi menghentikan kekecohan yang berlaku, menyebabkan kebanyakan ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu