Pemain, penyokong bertafakur untuk Mohd Suffian [ 4m ago ]

Najib berkata berita mengenai RM42 juta dimasukkan ke dalam akaunnya merosakkan reputasinya - Saksi

Tarikh kemaskini: 17/07/2019
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa berita mengenai wang berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya telah merosakkan reputasi dan kariernya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia People’s Foundation (YR1M), Ung Su Ling, 51, berkata Najib telah menyatakan perkara itu kepada beliau apabila bertemu dengan Najib selepas akhbar melaporkan bahawa wang SRC International Sdn Bhd telah didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib pada 2015.

Ung, yang merupakan saksi pendakwaraya yang ke-49 berkata demikian bila ditanya oleh peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib semasa perbicaraan SRC Najib, yang memasuki hari ke-39 hari ini.

Harvinderjit: Awak tahu bahawa hal mengenai akaun ini menjadi berita pada 2015

Ung: Ya.

Harvinderjit: Adakah awak menemui segera Najib selepas itu

Ung: Saya tidak mengatakan begitu segera. Kemudian pada tahun itu, ya. Ya, saya bertemu Najib.

Harvinderjit: Kefahaman saya ialah Najib terperanjat apabila wang itu berada dalam akaunnya dari Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Dia tidak mengetahui wang itu daripada IPSB

Ung: Saya tidak begitu pasti apa yang dia cakapkan. Apa yang dia katakan ialah ia amat merosakkan reputasi dan kariernya. Ya, dia berkata dia tidak mengetahui bahawa wang berkenaan telah dipindah masuk. Tetapi saya tidak tahu atau ingat sama ada dia ada berkata bahawa dia tidak tahu wang itu daripada IPSB.

Ung berkata, dia juga meminta maaf kepada Najib selepas mengetahui bahawa wang RM42 juta yang dia arah dipindah masuk ke dalam akaun Najib. Ung juga menawarkan peletakan jawatannya dari YR1M.

Terdahulu, Pengarah Urusan IPSB, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, yang juga saksi pendakwaraya yang ke-37 memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib “terperanjat dan kecewa” sebaik diberitahu seseorang telah memasukkan wang ke dalam akaun bank peribadinya.

Dr Shamsul Anwar berkata, Najib tidak meminta dia membuat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana yang dipindah masuk itu.

Terdahulu Ung berkata, dia mengenali ahli perniagaan buruan terkenal, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan menemui ahli perniagaan itu antara 2000 atau 2001.

Beliau berkata, Jho Low, pada ketika itu, ialah pelajar Wharton School, University of Pennsylvania.

Ung berkata, Jho Low pernah sekali memberitahunya bahawa dia mahu pulang ke Malaysia untuk bekerja selepas tamat pengajiannya.

“Ini berlaku lama dahulu jadi ia mungkin tidak tepat. Dia menjalankan beberapa perniagaan yang dimulakannya dengan beberapa syarikat dotcom, yang kemudian dijualnya. Dia ingin melakukan perkara yang seumpama lagi. Saya diperkenalkan kepada beliau untuk melihat bagaimana dia boleh mencari peluang usahasama modal,” katanya.

Harvinderjit juga bertanya saksi berkenaan khidmatnya di Lotus Asset Management dan sama ada syarikat berkenaan menguruskan wang Jho Low yang mana dijawab Ung bahawa itu tidak benar dan syarikat berkenaan tidak pernah mengurus wang untuk Jho Low.

Ung bekerja di Lotus Asset Management sebelum menyertai Wynton Group pada 2004 dengan tiga individu lain.

Najib, 66, didakwa melakukan tiga kes pecah amanah, satu kes menyalahguna kedudukannya dan tiga kes pengubahan wang haram membabitkan SRC International dengan dana berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-- BERNAMA


NAA SN2 SSA CR



       Berita Utama Terdahulu