Malaysia terus dirundung malang, dibelasah New Zealand 0-6 [ 7h ago ]

Korea Selatan, AS tunggu maklum balas Korea Utara

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
WASHINGTON, 12 Julai (Bernama) -- Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) masih menunggu keputusan Korea Utara sama ada mahu mengadakan semula rundingan mengenai program senjata nuklear rejim itu, memetik seorang pegawai tertinggi presiden Korea Selatan pada Khamis, lapor agensi berita Yonhap.

Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un pada pertemuan di sempadan antara Korea pada 30 Jun lalu, bersetuju untuk menyambung rundingan dalam masa beberapa minggu lagi.

Setakat ini, tarikh atau tempat rundingan masih belum diumumkan.

"Saya tidak boleh mengatakan sama ada ia akan diadakan minggu depan atau minggu selepasnya kerana masih menunggu maklum balas," kata timbalan ketua Pejabat Keselamatan Rumah Biru Kim Hyun Chong kepada pemberita ketika melawat Washington.

AS menjangkakan rundingan bakal diadakan pertengahan bulan ini.

Wakil AS di Korea Utara Stephen Biegun telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Lee Do Hoon, di Berlin pada Khamis dan bersetuju meneruskan usaha diplomatik bagi menyambung rundingan peringkat tinggi dengan Korea Utara.

Kedua-dua pihak turut berbincang untuk bekerjasama bagi memastikan rundingan itu membuahkan hasil ke arah Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear.

Kim berkata beliau menjangkakan isu Korea Utara akan dibangkitkan semasa pertemuannya dengan Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Charles Kupperman pada Jumaat.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu